*******

Tuesday, February 24, 2009

Kekosongan Kerusi Batang Ai Dimaklumkan Kepada SPR

KUCHING, 24 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dimaklumkan mengenai kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Dublin Unting Ingkot seawal-awalnya hari ini, kata Setiausaha DUN Abang Othman Abang Fata.


"Pada masa ini kami sedang menunggu sijil kematian dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara untuk membolehkan kami memaklumkannya kepada SPR," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Abang Othman berkata jika sijil kematian itu tidak dapat diserahkan hari ini akibat masalah teknikal, ia akan dihantar kepada SPR esok.

Katanya Speaker Sarawak Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar akan menulis surat kepada SPR untuk memaklumkan kekosongan kerusi itu.

Anggota DUN Batang Ai, Unting yang juga Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), meninggal dunia di Pusat Perubatan Pakar Normah pada pukul 1.25 pagi ini akibat serangan angin ahmar sehingga menyebabkannya koma selama sembilan bulan.

Unting, 55, adalah juga Menteri Muda Sukan dan Pertanian Sarawak.

Pilihan raya negeri Sarawak pada Mei 2006, menyaksikan Barisan Nasional Sarawak memenangi 62 daripada 71 kerusi dipertandingkan manakala sembilan kerusi lagi dimenangi pembangkang - enam oleh DAP dan dua dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR). Satu kerusi dimenangi calon Bebas.

BN Sarawak terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

-- BERNAMA

ADUN Batang Ai Meninggal Dunia

KUCHING, 24 Feb (Bernama) -- Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Dublin Unting Ingkot, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Batang Ai, meninggal dunia di Pusat Perubatan Pakar Normah pada pukul 1.25 pagi ini akibat serangan angin ahmar.


Unting, 55, yang juga Menteri Muda Sukan dan Pertanian Sarawak, meninggalkan isteri Datin Froline Moriah Demies Impoi, dua anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Mendiang dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak sembilan lepas setelah koma akibat serangan angin ahmar yang teruk pada Mei tahun lepas ketika ditemuramah oleh satu saluran Radio Television Malaysia (RTM) dalam kapasitinya sebagai Chef de Mission kontingen Sarawak dalam Sukan Malaysia (Sukma).

Setiausaha Agung PRS Wilfred Nissom, yang mengesahkan kematian Unting, memberitahu Bernama beliau melawat Unting malam tadi selepas mengetahui keadaannya semakin tenat.

Jenazah mendiang akan dibawa balik ke kediamannya di Jalan Kampung Stutong petang ini.

--Bernama

Wednesday, February 18, 2009

Sarawak Rangka Strategi Baru Pikat Pelancong Asean

KUCHING, 17 Feb (Bernama) -- Sarawak akan memperkenalkan strategi baru bagi mengimbangi krisis kewangan global dalam usaha meningkatkan bilangan kedatangan pelancong dari rantau Asean, kata Menteri Pembangunan Bandar dan Pelancongan Negeri Datuk Michael Manyin hari ini.

Katanya dengan kemelesatan ekonomi dunia, pelancong yang sebelum ini melakukan perjalanan jarak jauh ke benua Amerika dan Eropah kini memilih destinasi jarak dekat yang lebih mampu di rantau ini.

"Sarawak ingin mengambil kesempatan ke atas pelancong jarak dekat khususnya pelancong Singapura dengan penambahbaikan laluan dengan lebih penerbangan terus diadakan antara Singapura-Kuching sejak November tahun lepas.

"Dengan penerbangan terus Kuching-Jakarta, kita akan memperkenalkan pakej pelancongan baru bagi memikat pelancong Indonesia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tune Hotels.com-Waterfront Kuching di sini hari ini.

Manyin berkata mereka juga akan mengadakan promosi pelancongan ke Filipina, Thailand dan negara-negara Asean yang lain.

Selain itu, Lembaga Pelancongan Saawak akan bekerja rapat dengan pengusaha pelancongan tempatan dan syarikat penerbangan bagi menawarkan pakej penerbangan menarik kepada pelancong dari Singapura.

Katanya empat syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia, SilkAsia dan Tiger Airways menyediakan perkhidmatan penerbangan terus Singapura-Kuching.

Mulai 1 Mac ini, Manyin berkata sebuah lagi syarikat penerbangan tambang murah JetStar Asia, akan memulakan perkhidmatan penerbangan terus Singapura-Kuching dengan kapasiti tempat duduk berjumlah 7,000 setiap minggu.

Dalam perkembangan berkaitan, Manyin berkata sebuah pertandingan ratu cantik antarabangsa akan diadakan di negeri itu tahun ini bagi mempromosikan industri pelancongan Sarawak.

"Ratu cantik dari 60 buah negara dijangka akan menyertai pertandingan peringkat antarabangsa itu," katanya.

-- BERNAMA

Switzerland Mahu Perkukuh Hubungan Dengan Sarawak

KUCHING, 18 Feb (Bernama) -- Switzerland berminat untuk mengukuhkan hubungan dengan Sarawak, negeri yang kaya dengan sumber alam semula jadi terutamanya dalam bidang pemuliharaan alam semula jadi, kata Duta Switzerland ke Malaysia, Dr Urs Stemmler.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat Pusat Hidupan Liar Semenggoh dekat sini, Stemmler berkata satu bidang yang mengkagumkan beliau adalah pengetahuan, motivasi, dedikasi serta profesionalisme Perhutanan Sarawak dalam pemuliharaan orang utan.

"Banyak usaha-usaha positif dilakukan Kerajaan Sarawak bagi memulihara orang utan. Saya amat kagum dengan usaha gigih dan dedikasi Sarawak dalam kerja-kerja pemuliharaan orang utan," katanya.

Stemmler berkata Sarawak telah menyediakan persekitaran yang kondusif bagi melatih dan menyediakan orang utan hidup dalam habitat semula jadi yang seharusnya dicontohi oleh negara-negara lain.

Katanya Sarawak juga mengambil inisiatif lain dengan menguatkuasakan undang-undang yang ketat bagi melindungi kewujudan orang utan di negeri itu daripada pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata pemuliharan alam semula jadi merupakan antara perkara yang dibincangkan semasa pertemuannya dengan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu semalam.

Ia satu perbincangan yang menggalakkan dan ia turut menyentuh kemungkinan untuk memperluaskan inisiatif pemuliharaan bagi kedua-dua pihak, katanya.

Terdahulu, Stemmler yang dalam rangka lawatan ke Sarawak sejak semalam, melawat Pusat Hidupan Liar Semenggoh di Hutan Simpan Asli Semenggoh yang mempunyai keluasan 653 hektar habitat alam semula jadi.

Setakat ini terdapat 25 orang utan hidup di Hutan Simpan Asli Semenggoh, termasuk 14 yang dilahirkan di pusat berkenaan.

-- BERNAMA

Hab Halal Tanjung Manis tarik pelaburan RM9b

TANJUNG MANIS 18 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan Hab Halal Tanjung Manis (HHTM) yang bakal menarik pelaburan bernilai RM9 bilion.

Hab halal yang terletak di dalam kawasan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE) itu merupakan salah satu pengkalan produk halal terbesar di Malaysia untuk meneroka pasaran industri halal dunia.

Pada majlis itu, Abdullah turut menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Penjualan Tanah dan 'Lesen Untuk Menduduki' antara Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka), Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC), Tanjung Manis Food and Industrial Park Sdn. Bhd., dan pelabur HHTM.

Sebanyak 11 syarikat terbabit dalam majlis itu dengan nilai pelaburan sebanyak RM4 bilion.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Sarawak, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan berkata, buat permulaan, projek dengan keluasan 19,000 hektar itu mampu membuka peluang pekerjaan kepada 3,000 penduduk tempatan di sini.

Katanya, syarikat yang terbabit dengan projek di HHTM akan melaksanakan projek berkaitan akuakultur, bioteknologi, penternakan, perladangan, pemprosesan makanan halal serta projek penyelidikan dan pembangunan (R&D).

''Kerajaan negeri amat mengalu-alukan kehadiran pelabur luar seperti Sea Party Group untuk melaksanakan projek akuakultur, penternakan ikan dan udang, penternakan ayam dan rumpai laut secara besar-besaran menggunakan teknologi moden dan mesra alam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada majlis pelancaran HHTM yang disempurnakan Abdullah di sini hari ini.

Awang Tengah berkata, pembangunan infrastruktur di HHTM memerlukan dana kira-kira RM5 bilion bagi membolehkan kemudahan sokongan seperti kemudahan lapangan terbang, rangkaian jalan raya menghubungkan kawasan industri dapat diwujudkan.

Katanya, Pusaka telah mendapat peruntukan sebanyak RM135 juta bagi mengadakan kemudahan infrastruktur dan kemudahan asas untuk projek HHTM.

''Bagaimanapun, keperluan yang mendesak untuk diadakan di HHTM ketika ini ialah mewujudkan kemudahan perbankan selaras dengan pelaksanaan projek tersebut," katanya.

Sementara itu, Awang Tengah berkata, Bandar Baru Tanjung Manis merupakan bandar pelabuhan dan bandar hab halal yang dijangka menarik pelaburan kira-kira RM20 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.

--Utusan