*******
Showing posts with label dun sarawak. Show all posts
Showing posts with label dun sarawak. Show all posts

Tuesday, April 7, 2009

BN menang di Batang Air dengan majoriti 1,854 undi

LUBOK ANTU 7 April – Calon Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air dengan majoriti 1,854 undi.

Malcom Mussen Lamoh dari BN memperoleh 3,907 undi menewaskan calon PKR, Jawah Gerang yang memperoleh 2,053 undi. - Utusan

Saturday, April 4, 2009

Isu rampasan tanah adat: Mussen dihantui perbuatan bapanya

LUBOK ANTU, 2 April (SK): Pengundi N 29 Batang Ai telah mencemuh Malcolm Mussen sebagai tidak berhati perut dan perompak tanah kerana mendakwa bahawa bapa beliau iaitu Penghulung Lamoh telah menjual tanah adat penduduk kepada kroni Barisan Nasional.

“Kami tidak akan melupakan peristiwa tanah kami si ceroboh dan dijual, bapa borek anak rintik,” kata seorang wanita yang lantang bersuara semasa Mussen berucap selepas keluar dari perkarangan pusat penamaan calon di stadium Batang Ai baru-baru ini.

“Mussen sila ingat kembali apa yang telah dilakukan oleh bapa kamu terhadap kami, ini adalah hari untuk membalas dendam, masa tidak dapat mengubat luka kami,” jerit wanita berkenaan.

Kedengan teriakan “JA -Boooooooo”, diikuti dengan jeritan “Perompak Tanah” diteruskan dengan “Tidak kepada BN tidak kepada Mussen - kedua-duannya perompak tanah!”

“Kami minta maaf Mussen, penduduk Batang Ai tidak akan membenarkan anak-anak Penghulu Lamoh menjadi pemimpin kami dan mengambil tanah adat keturunan kami lagi,”

Itu adalah antara jeritan dari seorang wanita Iban yang berani secara terang-terangan mencemuh Mussen di khayalak ramai.

Menurut orang-orang di kawasan ini masih mengingati peristiwa yang pernah terjadi semasa Penghulu Lamoh telah merampas dan menjual tanah adat orang-orang Iban dan mendapat habuan yang lumayan.

Pengundi Batang Ai itu berkata, Mussen akan dihantui oleh perbuatan bapa beliau tidak akan terlepas dari perbuatan khianat itu dan selalu diingatkan apabila beliau berucap di khalayak ramai.

“Kesimpulannya, harus diingat bahawa setiap perbuatan jahat itu akan diingati oleh penduduk Batang Ai dan perbuatan sedemikian terus menghantui anak cucu Penghulu Lamoh,” jelas mereka.

Sementara itu, di khemah KeADILan berhampiran Stadium berkenan kelihatan bising dan penuh dengan semangat berjuang untuk kemenangan parti berkenaan.

--Suara Keadilan

N29 Batang Ai: Tanpa ceramah Anwar tidak patah semangat pengundi

LUBOK ANTU, 3 April (SK): Walaupun Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim tidak dapat berucap di staium Sukan Batang ai seperti yang di rangcangkan namun kehadiran beliau telah mematahkan tohmahan Barisan Nasional bahawa Pakatan Rakyat tidak mementingkan kemenangan di Dun N29 Batang Ai ini.

Dalam suasana kepayahan pengangkutan di kawasan Batang Ai, tetapi tidak mematahkan semangat pengundi yang datang untuk memberi sokongan padu kepada Anwar walaupun kahadiran beliau terpaksa disingkatkan akibat dari tidak dibenarkan berceramah di sini.

Kira-kira 400 penyokong berhimpun di Kampung Kutai untuk mendegan ceramah beliau dan memberi semangat dan perangsang untuk mengingati mereka tentang beberapa perkara penyalahgunaan kuasa BN di Batang Ai. Mereka juga mahu mendengar dari anwar sendiri apakah perubahan yang bakal mereka kecapi setelah kemenangan KeADILan di kawasan ini.

Antara isu-isu yang dibangkitkan Anwar semasa lawatan beliau adalah:-

Pertama: Dimanakah aktiviti perdagangan dan ekonomi BN yang dijanjikan pada tahun 1983 kepada rakyat Batang Ai apabila mereka mahu membina dam hidro-letrik di sini?

Kedua: Dimanakah perubahan dan kualiti kehidupan dalam bentuk infrastruktur dan kemudahan awam yang dijanjikan selama ini? Hampir kesemua rumah panjang masih lagi tidak dibekalkan dengan talian letrik dan air bersih.

Ketiga: Dimanakah hak warisan tanah adad seperti dijanjikan dan tanah pemindahan apabila kepadatan penduduk sidah kian bertamabah? dan

Keempat: Apa telah terjadi kepada jawatankuasa pelaburan yang sepatutnya memantau dan memastikan keamanan dan kesejahteraan penduduk di Lubok antu ini?

BN dilihat sebagai pandai menabur janji tapi tidak dapat mengotakanya.

Kejayaan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor telah menjadi kayu pengukur kepada pengundi Batang Ai yang mahu mendapat khairat kematian sebanyak RM2,500 yang tidak pernanah dirasai dan membandingkan segala kekayaan negeri Sarawak telah dirampas Kerajaan Pusat BN.

Sementara itu, pihak polis kelihatan merond di seluruh Lubok Antu sehingga merimaskan penduduk di kawasan ini.

“Mengapa pihak polis tidak membenarkan Anwar berceramah di Stadium Sukan di Batang Ai, sedangkan kami semua adalah pembayar cukai. Sebenarnya BN takut bila orang ramai bertumpu kepada ceramah Anwar di sini,” jelas

Mengapa BN amat takut kepada bayang-bayang KeADILan jika mereka telah memajukan Sarawak dengan jayanya? Kenapa seramai 800 anggota polis datang bertugas di kawasan Lubok Antu dan apakah tugas mereka sebenarnya?

Pilhak polis dilihat seolah-olah diperalatkan oleh BN dimana tugas mereka adalah untuk memastikan untuk menjaga kepentingan BN.

Adakan ini yang dikatakan perubahan yang akan dibawa oleh Ketua Polis Negara Musa Hassan semasa berucap sempena Hari Piolis baru-baru ini?

--Suara Keadilan

Rakyat Batang Ai mahu bangkit dari kemiskikan dan penindasan pemimpin BN | Pilihanraya Kecil N29 Batang Ai

LUBOK ANTU, 3 April (SK): Kehadiran pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat untuk membantu calon KeADILan Jawah Gerang N29 Batang Ai telah menaikan peratusan penyokong Pakatan Rakyat di sini.

Persiapan terbesar pengarah Pilihanraya Pakatan Rakyat Dun N29 Batang Ai adalah untuk mengadakan satu ceramah besar-besaran oleh Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim pada 5 April ini.

Kira-kira 60 peratus penyokong Pakatan Rakyat hadir pada hari penamaan calon di Stadium Sukan Batang Ai untuk bersama-sama Jawah dan peratusan sebanyak 15 peratus lagi dijangka akan memihak kepada beliau apabila Anwar dan Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim turun padang di kawasan ini.

“Saya yakin peratusan akan mendadak naik apabila pemimpin teratas Pakatan Rakyat dapat mendengar permasalahan yang mereka hadapi sekarang ini,” kata pengarahnya Dominique Ng.

Rakyat Batang Ai mahu bangkit dari belenggu kedaifan dan kemiskinan hidup dibawah kekejaman kepimpinan Barisan Nasional selama 51 tahun ini.

“Kini kesedaran telah meningkat di kalangan penduduk di kawasan ini apabila ramai pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat termasuk Khalid yang datang ke kawasan Batang Ai untuk menerangkan bahawa betapa pentingnya pengundi yang seramai 8006 orang ini mengundi Pakatan Rakyat,”kata Dominique.

“Dengan menjadikan Negeri Selangor sebagai kayu pengukur untuk membuktikan kemampuan Pakatan Rakyat mentadbir sesebuah negeri dengan telus dan cekap dengan hanya satu tahun mentadbir negeri itu,”jelas Dominique.

Menurut Dominique, Moto pemimpin BN adalah mahukan rakyat Batang Ai terus mundur dan dibelenggu kehidupan dibawah paras kemiskinan untuk mereka terus menindas dam merompak segala kekayaan bumi Batang Ai dengan ugutan akan mengambil tindakan kejam pada sesiapa yang tidak mahu tunduk kepada pemimpin BN.

“Ini tidak akan mematahkan semangat untuk terus berkempen walaupun keadaan yang serba kekurangan untuk mengendalikan kempen dan ceramah,” beliau berkata.

“Masalah utama yang kami hadapi di sini adalah kemudahan pengankutan yang terhad kerana dikawasan pendalaman memerlukan perjalanan selama enam jam untuk sampai ke pusat mengundi di bandar kecil di Lubok Antu ini,” jelas beliau.

Isu setempat di Batang Ai yang menjadi agenda utama ialah:-

Pertama - rampasan tanah adat pemimpin BN terdahulu termasuk bapa kepada calon BN Malcolm Mussen Lamoh semasa beliau menjadi Penghulu di Batang Ai. Mereka tidak mahu seperti ‘Bapa borek anak rintik’ berulang lagi.

Kedua - kawasan Batang Ai hanya terletak bersebelahan projek Bakun Hidro-letrik yang menjana bekalan letrik keseluruh Negeri Sarawak namun kawasan ini tidak mendapat bekalan letrik yang sempurna. Kebanyakan rumah panjang daripada 128 buah tidak mendapat talian bekalan letrik dan bekalan air bersih.

Ketiga - segal janji-jani manis selam 51 tahun pemerintahan kerajaan BN di sini tidak nampak sebarang perbezaan dengan negara jiran Indonesia iaitu sempadan Kalimantan yang tidak mempunyai sebarang kemudahan jalanraya yang berturap dengan sempurna,” kata Dominique.

“Jalan menuju ke Rumah Panjang Sayat tempat tinggal calon Pakatan Rakyat Jawah juga kena menaiki pacuan emapt roda untuk sampai ke sana,” jelas beliau dengan nada kesal dengan kerajaan BN.

--Suara Keadilan

Wednesday, April 1, 2009

Pelancongan Ekologi, Perkataan Popular Di Batang Ai

LUBOK ANTU, 1 April (Bernama) -- Malahan sebelum pelancongan berasaskan ekologi atau eko-pelancongan menjadi perkataan popular, penduduk di Batang Ai sudahpun terdedah kepada dunia luar hasil daripada tradisi Iban 'bejalai' atau pergi mengembara.

Berikutan pembinaan empangan hidro elektrik pertama di Sarawak iaitu di Batang Ai, yang siap pada 1985, kawasan itu yang sebelumnya terpencil kini sudah dihubungkan dengan jalan raya dari jetinya, hingga ke persimpangan lebuh raya Pan Borneo dan seluruh negeri ini.

Tasik buatan manusia yang sungguh mengagumkan itu, merentasi lembah antara Engkari dan Ai, dan Taman Negara Batang Ai, yang menjadi tempat tinggal Orang Utan dan kira-kira dua jam perjalanan dengan bot, adalah sebahagian daripada kompleks empangan hidro elektrik itu.

Dengan pusat peranginan Hilton Batang Ai Longhouse Resort di pantainya, penduduk di kawasan sekelilingnya turut mendapat manfaat daripada pembangunan ekonomi yang dibawa oleh industri hospitaliti, serta promosi produk pelancongan berasaskan kebudayaan, pengembaraan dan alam semulajadi (CAN).

Pengurus Pelanggan/Aktiviti Hilton Batang Ai Longhouse Resort Christopher Kiding berkata penduduk setempat dibabitkan dalam usahasama berdasarkan perkongsian keuntungan dalam membawa pelanggan hotel ke rumah panjang Iban di kawasan itu, selain diambil bekerja sebagai kakitangan hotel.

"Lawatan ke rumah panjang adalah paling popular di kalangan pelancong Eropah yang gemarkan alam semulajadi, yang biasanya akan melawat rumah panjang Mengkak, kira-kira 45 minit perjalanan dengan bot, dan kemudiannya pergi ke hulu sungai untuk melawat rumah panjang Nanga Sumpa yang terletak di hujung taman negara," katanya kepada Bernama semasa lawatan ke pusat peranginan itu.

Baru-baru ini, pusat peranginan itu menerima anugerah 'Sarawak Hornbill Tourism Appreciation Awards 2008' bagi sumbangan cemerlang terhadap pelancongan bagi kategori hotel harga pertengahan terbaik.

Untuk ke pusat perangingan itu, pelawat boleh menggunakan bot yang memakan masa 20 minit perjalanan dari jeti empangan itu atau kira-kira empat jam perjalanan mengikut jalan darat atau 275km dari ibu negeri, Kuching.

Terletak di kawasan seluas 70 hektar, Kiding berkata lawatan termasuk 45 minit menyusuri Nature Trail atau lima jam bagi Smugglers' Trail, diberi nama sempena urus niaga sistem tukaran barang di sepanjang Sarawak-Kalimantan, Indonesia, untuk meninjau hidupan liar seperti burung kenyalang, babi hutan, tenggilin atau malahan Orang Utan.

Beliau berkata sejak beberapa tahun lepas, pusat peranginan 98 bilik itu merekodkan purata penginapan 40 peratus, terutamanya pada musim puncak antara Mei dan Oktober, dengan pelanggan, kebanyakannya dari Scandinavia, Amerika Syarikat, Jerman, Singapura dan Malaysia.

Jeti empangan Batang Ai terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari bazar sempadan Lubok Antu, pusat pentadbiran daerah, yang begitu sibuk menjelang pilihan raya kecil kerusi Batang Ai pada Selasa ini.

-- BERNAMA

PKR Diramal Tempuh Laluan Sukar Di Batang Ai

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Mampukah Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencatat kemenangan di Batang Ai, sebuah kawasan luar bandar, dan sekali gus mencipta satu lagi kejutan dalam pilihan raya kecil seperti yang dilakukannya bagi kerusi bandar di kawasan Padungan pada pilihan raya kecil negeri Sarawak 2006?

Kebanyakan pemerhati politik berpendapat PKR menghadapi laluan sukar di Batang Ai dalam usahanya untuk memenangi kerusi itu.

Batang Ai, yang dianggap tempat asal usul masyarakat Iban, mempunyai 8,006 pemilih berdaftar, dengan 95 peratus daripada mereka terdiri daripada kaum Iban.

Kali terakhir pembangkang mengalahkan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu ialah pada 1991, semasa Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), yang kini hanya tinggal namanya sahaja, merupakan sebuah parti pembangkang di Sarawak, tetapi menjadi parti komponen BN di peringkat persekutuan.

Pada pilihan raya berkenaan, PBDS meletakkan mendiang Dublin Unting Ingkot sebagai calonnya dan mengalahkan calon BN Mikai Mandau dengan majoriti tipis 86 undi, dalam suasana memuncaknya "Agenda Kaum Dayak" ketika itu.

Pilihan raya kecil Batang Ai, yang dianggap sebagai pertarungan antara dua "rentap", pasti menarik minat banyak pihak. Ramai yang ingin melihat sama ada PKR mampu mengulangi kejayaan yang dicatat oleh pembangkang pada 1991.

BN memilih jurutera Malcolm Mussen Lamoh, manakala PKR menurunkan bekas Anggota Parlimen Lubuk Antu selama lima penggal Jawah Gerang, bagi merampas kerusi itu.

Para pemerhati berkata PKR mengalami kekurangan yang amat ketara daripada segi sumber bagi menghadapi pilihan raya kecil itu kerana perlu menghadapi tiga pilihan raya kecil serentak, termasuk di Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau, Kedah.

Ketua Pembangkang, yang juga Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengaku pihaknya menghadapi kesukaran apabila bertanding dalam tiga pilihan raya kecil secara serentak.

Walaupun PKR hanya meletakkan calonnya di Bukit Selambau dan Batang Ai, namun ia perlu menggerakkan juga jentera pilihan rayanya di Bukit Gantang kerana komited dengan pakatan PKR-DAP-PAS.

PKR berpendapat ia berpeluang untuk menang di Batang Ai dan sekali gus membuktikan bahawa kehadirannya diterima di Sarawak, terutama dalam membina kekuatan bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

Bagaimanapun, hakikat yang tidak boleh disembunyikan ialah parti itu tidak memiliki jentera pilihan raya yang ampuh di Sarawak dan oleh itu terpaksa bergantung pada para pemimpin kebangsaannya untuk berkempen.

Berbanding PKR, BN tidak menghadapi masalah daripada segi logistik, kata penulis blog kelahiran Sarawak Tedewin Ngumbang.

"Apabila sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, mereka (pemimpin PKR) perlu menggunakan kenderaan darat untuk ke Lubok Antu sebelum menuju ke merata kawasan rumah panjang di Batang Ai dan untuk ke Delok serta Engkari atau Lamanak (sungai) di bahagian timur kawsan luar bandar ini, mereka perlu menyeberang empangan Batai Ai yang luas umpama laut," kata penulis itu dalam blognya borneo-warrior.blogspot.com.

Tedewin, yang lebih dikenali melalui nama penanya "Borneo Warrior", berkata kemudahan penginapan dan makan-minum di Batang Ai juga amat terhad, kecuali petugas kempen yang mampu tinggal di Hotel Hilton Batang Ai, yang mahal serbi-serbinya dan terletak diseberang tasik gergasi itu.

"Makanan Halal? Hampir tiada langsung di Lubok Antu!" katanya.

Tetapi, bagi BN, perkara itu tidak menjadi masalah kerana anggotanya boleh tinggal di pelbagai tempat seperti banglo Bandar SESCO, kuarters kerajaan dan Klingkang Inn di Lubok Antu.

Daripada segi kemudahan untuk bergerak, parti gabungan itu mempunyai helikopter untuk mengangkut petugasnya ke kawasan pedalaman.

"PKR kekurangan serba-serbi. Kemudahan logistik, operasi dan penyelarsan kempen, boleh dikatakan hampir tiada langsung bagi mereka. PKR tidak mampu menandingi BN Sarawak dalam hal ini," kata Tedewin.

Tedewin, yang pernah berkhidmat sebagai pegawai polis, berkata memang sukar untuk merampas kerusi yang disandang oleh seseorang wakil rakyat BN selama beberapa penggal, lebih-lebih lagi melalui pilihan raya kecil.

Rakan gandingan PKR sendiri, DAP, nampaknya bersetuju bahawa PKR menghadapi laluan yang amat sukar di kawasan luar bandar Sarawak.

"Saya tidak fikir apa jua propaganda Pakatan, seperti keadilan, kesaksamaan dan demokrasi, akan memberi kesan. Logistik memang menjadi masalah. Dalam pilihan raya negeri, fokusnya tidak sehebat pilihan raya kecil ini apabila semua jentera (pilihan raya) akan bertumpu pada suatu kerusi tertentu. Pilihan raya kecil ini berbeza sepenuhnya," kata setiausaha DAP Sarawak Chong Chien Jen.

Bagaimanapun, biar sesukar mana sekali pun, mereka yang terlibat dengan politik sedar bahawa Batang Ai tidak boleh dipandang ringan kerana ia merupakan kayu ukur politik yang amat penting di Sarawak.

"Jika PKR menang dengan majoriti besar, maka 16 Sept (tarikh pengambil alihan) akan hadir setahun kemudian. Bagaimanapun, ia tetap sukar bagi PKR," kata pakar strategi DAP, yang juga Anggota Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong.

Rakan sejawatan Liew dalam DAP Sarawak Voon Lee Shan, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Lintang, pula berkata Batang Ai akan menjadi medan ujian bagi apa yang beliau sifatkan sebagai kelahiran semangat "Iban Baru".

Bagi para pemimpin tertinggi PKR, mereka berpendapat, sekurang-kurangnya di atas kertas, parti itu mempunyai peluang yang sama dengan pesaingnya untuk menang.

Ketua Penerangan PKR Tian Chua berkata berdasarkan keputusan dua pilihan raya lepas di Batang Ai -- pilihan raya negeri Sarawak sebelum ini dan pilihan raya umum tahun lepas -- pola pengundian menunjukkan bahawa PKR mampu memberi tentangan, walaupun menghadapi masalah daripada segi logistik dan kewangan.

BN mempunyai kekuatan di daerah Sbangki (rumah panjang Dublin), pekan Lubok Antu, Skarok, Kaong, Melaban, Kumpang, Nenyang, Ensawang, Kutai, Mepi dan Ng Patoh.

Parti gabungan itu mampu mencapai kemenangan kerana memiliki banyak kelebihan, termasuk calon yang baik iaitu Malcolm Mussen, seorang yang disukai ramai serta memiliki ciri-ciri positif lain, kata Anggota Parlimen BN Kapit Alexander Nanta Linggi.

"Kami harap dapat meyakinkan rakyat, tapi BN sendiri, perlulah melakukan lebih banyak lagi, seperti sedia mendengar sungutan rakyat. Masanya sudah tiba bagi BN untuk mengambil kesempatan sepenuhnya bagi menambah baik keadaan dan menangani masalah rakyat," katanya.

Bagaimanapun, ada beberapa perkara menarik yang perlu diberi pertimbangan iaitu: adakah semua pemilih di Engkari akan memberi undi mereka kepada Jawah apabila saudara pilihan mereka, Nicholas Bawin, tidak dipilih sebagai calon PKR? (Engkari adalah kubu kuat Bawin dan di sanalah beliau mendapat paling banyak undi pada pilihan raya negeri lepas).

Siapakah yang menjadi pilihan sanak saudara dan penyokong mendiang Unting, wakil rakyat mereka selama empat penggal dan seorang menteri muda? Adakah penyokong Naga Alam (setiausaha peribadi Unting, yang dikatakan berhasrat menjadi calon PRS/BN) akan menyokong Mussen, setelah beliau diketepikan? Perkara yang penuh dengan tanda tanya ini pasti akan terjawab melalui peti undi pada 7 April nanti.

-- BERNAMA

DAP Questions BN Posters, Banners On Government Buildings | Pilihanraya Kecil N29 Batang Ai

LUBOK ANTU, April 1 (Bernama) -- The hanging of posters of federal and state leaders on government buildings, including schools, is against the Election Law, said State DAP chairman Richard Wong Ho Leng.

He questioned why the hanging of posters of Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, his deputy, Datuk Seri Najib Tun Razak, Sarawak Chief Minister Tan Sri Abdul Taib Mahmud and other state political party leaders on such buildings was allowed.

Not only were the posters of the Barisan Nasional (BN) candidate for the Batang Ai by-election, Malcolm Mussen Lamoh, but that of its leaders at both federal and state levels were also freely hung at a number of government buildings including schools, he said.

"I wonder why are they allowed with such impunity in such neutral places," he told Bernama, here today.

He said this was again an infringement of the Election Law which clearly stated that only the posters of candidates from the contesting parties were allowed, and not anybody else.

Wong, a lawyer, cautioned that this could be used as a ground to nulify the election result.

He hoped the police here would act without fear of favour, although the posters were those of the country's and state's top leaders.

The Batang Ai by-election on April 7 is between Mussen and PKR's Jawah Gerang.

The seat fell vacant following the death on Feb 24 of Datuk Dublin Unting, BN's three-term assemblyman for the seat.

-- BERNAMA

Kertas Undi Pos Batang Ai Mula Diedar Esok - SPR | Pilihanraya Kecil N29 Batang Ai

LUBOK ANTU, 1 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mula mengedarkan kertas undi pos bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai di sini esok.

Pengarah SPR Sarawak Takun Sunggah berkata SPR akan menghantar sampul A dan sampul B yang dimasukkan ke dalam sampul keutamaan SPR kepada 43 pengundi pos yang majoritinya adalah anggota polis selain petugas SPR yang berdaftar sebagai pemilih di Batang Ai.

"Kertas undi pos kita akan mula diedar esok dan terpulang kepada pengundi pos untuk menghantar kertas undi masing-masing sebelum pukul 5 petang pada 7 April ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Takun berkata pihak polis akan menentukan tempat dan tarikh untuk membolehkan anggotanya mengumpul semula semua kertas undi yang telah dihantar SPR.

Katanya sampul A mengandungi kertas undi manakala sampul B untuk maklumat identiti akuan pengundi.

Sementara itu, Takun berkata sebanyak 50 kenderaan darat dan 20 perahu panjang akan digunakan oleh kira-kira 200 petugas SPR membabitkan 26 saluran pengundi untuk pilihan raya kecil DUN Batang Ai kali ini.

Katanya setakat ini SPR berpuas hati dengan parti-parti yang bertanding dan tidak ada sebarang laporan serius yang dilaporkan kepada pihaknya setakat ini.

"Kita mahu menasihati parti yang pertanding agar tidak menyentuh isu yang sensitif ketika berkempan," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Batang Ai 7 April ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu membabitkan calon Barisan Nasional (BN) Malcolm Mussen Lamoh dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jawah Gerang.

Batang Ai mempunyai 8,006 pengundi berdaftar.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dublin Unting Ingkot yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri pada 24 Feb lalu akibat angin ahmar.

-- BERNAMA

Undi Minoriti Melayu Penting Di Batang Ai | Pilihanraya Kecil N29 Batang Ai

LUBOK ANTU, 31 Mac (Bernama) -- Pengundi berdaftar dari kaum Melayu yang berjumlah hanya 117 berbanding 8,006 orang pengundi di Batang Ai boleh menjadi faktor penentu kemenangan dalam pilihan kecil di kawasan pedalaman itu.

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak Fadillah Yusof berkata setiap undi dari kaum minoriti ini adalah penting memandangkan pilihan raya pada 7 April itu dijangka sengit.

"Malah peluang untuk menang di Batang Ai adalah 50-50, tiada pihak yang boleh mengaku berada pada kedudukan selesa. Itu sebabnya BN tidak memandang ringan usaha untuk memenangi hati setiap pengundi di sini, termasuk dari kaum Melayu," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Melayu di sini.

Kaum Iban merupakan majoriti pengundi berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri itu dengan 7,608 orang, atau 95.03 peratus, namun pemerhati politik menjangka sokongan mereka akan terbahagi dua buat BN dan PKR.

BN menurunkan muka baru Malcolm Mussen Lamoh untuk berhadapan dengan ahli politik veteran Jawah Gerang dari PKR dalam pilihan raya kecil yang diadakan ekoran kematian penyandang Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Feb lepas.

Fadillah yang juga Ketua Pemuda Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memberitahu Bernama bahawa kaum Melayu yang menunjukkan sokongan padu kepada BN di sini sejak sekian lama, tidak akan mudah terpengaruh dengan taktik pembangkang membawa pemimpin-pemimpin dari luar Sarawak untuk memujuk mereka.

"Pengundi dari kaum Melayu ini berkongsi sentimen BN dan yakin hanya BN satu-satunya parti yang berjuang untuk rakyat," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, March 31, 2009

RM22 juta bina masjid, surau | Pilihanraya Kecil N29 Batang Ai

KUCHING 30 Mac - Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM22 juta bagi pembinaan masjid dan surau di Sarawak tahun ini.

Menurut Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat setelah mendapat kelulusan kerajaan negeri.

Beliau berharap dengan peruntukan itu, jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini dapat menarik lebih ramai jemaah ke tempat ibadat itu menerusi penganjuran pelbagai program keagamaan seperti kuliah fardu ain dan ceramah agama.

''Usaha ini penting untuk mengeratkan perpaduan umat Islam yang menjadi tunjang kekuatan ummah,'' katanya di sini baru-baru ini.

Beliau berucap merasmikan Surau Al-Kauthar, Taman Putri, Jalan Sultan Tengah.

Surau Al-Kauthar yang bernilai RM250,000 dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri dengan reka bentuk dibuat oleh Jabatan Kerja Raya dan mula beroperasi sepenuhnya Oktober 2007.

Daud berkata, selain itu, kerajaan turut memperuntukkan sejumlah RM4 juta bagi kerja-kerja membaik pulih masjid dan surau yang telah usang dan rosak.

Beliau menjelaskan, peruntukan itu amat perlu bagi memberi keselesaan kepada jemaah masjid dan surau.

''Saya berharap, dengan usaha ini, umat Islam dapat menjalankan ibadat mereka di masjid dan surau di negeri ini dengan sebaik-baiknya," katanya.

--Utusan

PAPAN TANDA | Pilihanraya Kecil N29 Batang Ai

PAPAN tanda biasanya terdapat di jalan raya. Bagaimanapun di Empangan Batang Air di Lubok Antu, Sri Aman terdapat papan tanda di tengah-tengah kawasan tasik untuk menunjukkan arah sesebuah kawasan di Batang Air.

Papan tanda tersebut serupa dengan papan tanda di jalan raya untuk memandu arah pengunjung dan bagi kegunaan pengangkutan air terutamanya bot panjang yang ulang-alik di kawasan tersebut.

Perjalanan ke kampung terdekat menggunakan bot panjang mengambil masa kira-kira satu setengah jam dari jeti Empangan Batang Air manakala paling jauh ialah lebih 3 jam.

Setiap perjalanan ke rumah panjang dikenakan bayaran antara RM20 ke RM40 dan sebuah bot panjang boleh memuatkan lima penumpang.

Bagi yang menyewa bot tersebut pula, bayaran dikenakan antara RM200 hingga ke RM450 untuk sehari.

--Utusan

Pembangkang tak mampu maju kawasan | Pilihanraya Kecil N29 Batang Ai


JOSEPH Mauh Ikeh bersalaman dengan penduduk rumah panjang Tinting Lalang di Lubuk Antu, semalam.

LUBOK ANTU 30 Mac - Pembangkang tidak mempunyai kemampuan untuk memajukan masyarakat kaum Iban mahupun membangunkan kawasan yang mereka wakili.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Joseph Mauh Ikeh berkata, wakil atau calon pembangkang yang menang dalam satu-satu pilihan raya tidak mempunyai sebarang peruntukan untuk membangunkan kawasan mereka.

Menurutnya, calon pembangkang hanya diberi elaun kira-kira RM4,000 sebagai wakil rakyat dan jumlah itu tidak cukup untuk membantu atau membangunkan masyarakat di kawasan yang diwakilinya.

''Pada masa pilihan raya, calon pembangkang akan memberi janji-janji manis tetapi jika sudah menang, bagaimana mereka mahu melaksanakan pembangunan kepada rakyat.

''Ini kerana pembangkang tiada rancangan dan peruntukan yang membolehkan mereka membantu rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Program Berambeh di Rumah Panjang Tinting Lalang anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sarawak di sini hari ini.

Ditanya mengenai calon Parti Keadilan Rakyat, Jawah Gerang, Mauh berkata, beliau yakin pembangkang tidak akan dapat memenangi kerusi Batang Air kerana Barisan Nasional (BN) mempunyai calon yang terbaik iaitu bekas jurutera pertanian di kawasan tersebut, Malcom Mussen Lamoh.

Katanya, Mussen seorang calon yang berpengetahuan serta mempunyai pengalaman bertugas di kawasan Batang Air dan tidak menjadi masalah untuk beliau meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Mengulas mengenai isu tanah, Mauh memberitahu, kerajaan bukan mengambil tanah penduduk kampung secara membuta tuli tetapi ia bertujuan membangunkan rakyat.

''Bagaimana kerajaan mahu melaksanakan pembangunan jika tidak ada tanah untuk membangunkannya kerana pembangunan tidak dapat dibina di ruang udara," ujarnya.

Pada masa yang sama, Mauh mahu masyarakat kaum Iban melahirkan modal insan yang berkualiti dengan memberi pengetahuan serta kemahiran kepada anak-anak.

Menurutnya, hanya dengan ilmu dan kemahiran sesebuah masyarakat itu boleh maju seperti rakyat di Amerika dan Eropah.

Bagaimanapun katanya, ibu bapa perlu memastikan anak-anak tidak terpengaruh dengan budaya barat serta gejala sosial yang sudah pasti akan menjadi barah kepada masyarakat.

''Bak kata pepatah orang Melayu, 'mahu melentur buluh biarlah dari rebungnya' dan anak-anak yang telah berjaya juga perlu perlu disemai dengan sikap bertanggungjawab, moral serta jati diri agar mereka tahu asal usul sendiri," katanya.

--Utusan

Monday, March 30, 2009

Batang Ai: Tanah adat dirampas untuk kroni BN | Pilihanraya Kecil N29 Batang Ai

LUBOK ANTU, 30 Mac (SK) : Isu tanah adat menjadi agenda utama dalam kempen calon KeADILan di pilihnraya kecil N29 Batang Ai, Jawah Gerang bagi menentang calon Barisan Nasional Malcolm Mussen .

Tanah adat telah menjadi isu utama apabila Kerajaan Barisan Nasional telah merampas tanah hak kepunyaan individu dan memperdayakan mereka dengan alasan Kerajaan BN mahukan tanah berkenan untuk pembangunan dan tidak perlu di beri sebarang pampasan kepada tuan tanah.

Menurut Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Sarawak Rahmat Aidil Latif, rampasan tanah yang berleluasa dengan sewenang-wenangnya oleh pegawai kerajaan BN telah memaksa orang-orang Iban di pendalaman untuk menyerahkan tanah berkenaan kepada kerajaan atas alasan pembangunan.

“Namun apa yang terjadi sebenarnya adalah tanah berkenaan telah diagihkan kepada kroni-kroni BN untuk tanaman kelapa sawit dan sebagainya,” kata Rahmat.

“Ada rumah panjang telah dirobohkan dan penghuninya di halau begitu sahaja tanpa sebarang pampasan sehingga ada yang menyatakan bahawa kehidupan pendatang haram lebih baik di Sarawak berbanding dengan kaum Iban yang asalnya dari sini,” tambah beliau.

Rahmat berkata, kemarahan kaum Iban disini amat jelas kerana penindasan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan dengan menafikan hak tanah adat yang selama ini dipertahankan dari satu generasi ke satu generasi oleh kaum Iban ini.

“Mereka tinggal jauh di pendalaman, segala kemudahan asas seperi jalan raya, bekalan air bersih dan letrik jauh sekali untuk dinikmati walaupun tapak projek mega hidro-letrik tidak jauh dari sini,” jelas Rahmat.

“Jawah dilihat sebagai pejuang kaum Iban kerana berasal diri Lubok Antu dan pernah menjadi Adun selama lima tahun. Beliau begita popular di kalangan rakyat Lubok Antu berbanding Mossen yang jarang sekali pulang ke Lubok Antu,” kata Rahmat.

--Suara Keadilan

Merakyatkan ekonomi Selangor jadi contoh pada pengundi Batang Ai

LUBOK ANTU, 30 Mac (SK) : Apa yang tidak dapat di laksanakan oleh kerajaan BN di Batang Ai selepas 50 tahun mentadbir akan dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat dalam hanya satu tahun sahaja.

Agenda ‘Merakyatkan ekonomi’ akan menjadi pegangan pada setiap pengundi KeADILan di N29 Batang Ai dengan harapan mencontohi rakyat Selangor.

Kehadiran Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim untuk membantu kempen pilihanraya kecil ini telah menjadi peneraju pada peralihan kuasa Barisan Nasional ke Pakatan Rakyat di sini.

Lebih sepuluh rumah panjang yang dilawati semalam, rata-rata menyatakan sokongan dan berpihak kepada KeADILan dan mahu mencontohi rakyat Negeri Selangor yang telah menikmati pelbagai kemudahan untuk semua kaum.

Kempen di Batang Ai terus berjalan lancar seperti yang di jadualkan bagi Khalid dan Jawah untuk bertemu dengan pengundi yang tinggal di pendalam di sekitar kawasan itu dengan menaiki bot dan kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke kawasan berkenaan.

Ketua Angkatan Muda (AMK) Sarawak, Rahmat Aidil Latif melaporkan bahawa, Khalid dalam ucapan beliau menyatakan Kerajaan Negeri Selangor telah berjaya merakyatakan ekonomi Selangor dengan jayanya seperi contoh bekalan air dan lektrik yang jauh lebih murah dan sentiasa prihatin kepada rakyat kurang berkemampuan dan tidak mengira bangsa dan keturunan.

Dalam lawatan beliau di Rumah Abeng, untuk menghadiri ‘Nanga Mepi’ satu upacara keramaian orang Iban, Khalid dilaporkan berkata “Hanya orang Iban yang boleh menukar politik Sarawak jika mereka bersatu,”

“Terpulang kepada rakyat Batang Ai, untuk mengubah politik Sarawak, ia harus bermula di Batang Ai,” tegas Khalid dan mengesa semua rakyat Batang Ai mengundi Jawah.

Pagi semalam, Khalid bersama-sama 1,000 penyokong KeADILan mengiringi Jawah di pusat penamman calon di Stadium Batang Ai.

Rakyat Batang Ai amat menyenangi kehadiran Khalid yang disifatkan sebagai seorang yang peramah dan berhemah.

Rahmat melaporkan bahawa rata-rata rakyat Batang Ai memuji keperibadian Khalid yang sentiasa senang didekati dan bermesra dengan rakyat tempatan dan menyatakan betapa untungnya rakyat Selangor mendapat seorang pemimpin yang berjiwa rakyat seperti Khalid.

“Ini adalah contoh pemimpin yang rakyat Batang Ai mahukan, seperti juga Jawah yang banyak berpengalaman mengangani masalah rakyak setempat dan sentiasa mendampingi mereka,” kata Rahmat kepada suara Keadilan.

--Suara Keadilan

Hanya penduduk generasi kedua terlibat | Pilihanraya Kecil N29 Batang Ai

LUBOK ANTU 29 Mac - Masalah kekurangan tanah di kawasan Fasa II Skim Penempatan Semula, Batang Air di sini hanya melibatkan generasi kedua penduduk kampung di situ, kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak.

Menurutnya, kerajaan telah memberikan tanah seluas empat hektar kepada setiap keluarga dari generasi pertama penduduk kampung yang tinggal di skim penempatan semula Fasa I dan II sebagai ganti rugi kepada pemindahan mereka ke kawasan penempatan semula itu.

Jelasnya, daripada jumlah itu, 0.8 hektar telah diperuntukkan kerajaan bagi membolehkan penduduk mengusahakan tanaman padi manakala baki tanah itu membolehkan penduduk untuk mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit.

Katanya lagi, oleh kerana kesukaran kerajaan untuk memperoleh tanah bagi penduduk mengusahakan tanaman padi, kerajaan bersetuju untuk membayar sejumlah RM4,000 kepada penduduk sebagai ganti rugi tanah berkenaan.

''Tidak timbul isu keluarga di situ diberikan tanah yang terhad. Masalah itu hanya dihadapi generasi kedua penduduk kampung berkenaan dan isu pemberian tanah itu telah selesai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan penduduk kampung di kawasan Skim Penempatan Kedua yang berhadapan dengan masalah kekurangan tanah untuk bercucuk tanam.

Menurut Nyalau, penduduk kampung dari penempatan semula fasa I dan II Batang Air telah memperoleh hasil dengan mengusahakan tanah mereka dengan kelapa sawit setelah menyertai Lembaga Penyatuan dan Pemuliharaan Tanah Sarawak (SALCRA).

''Pada pemberian dividen SALCRA di situ baru-baru ini, sebuah keluarga berjaya memperoleh dividen sebanyak RM40,000 hasil usaha mereka memajukan tanah dengan Lembaga berkenaan," katanya.

Sementara itu, Nyalau berkata, pihak Jabatan Tanah dan Survei (JTS) sedang mengumpulkan maklumat mengenai generasi kedua penduduk skim penempatan semula fasa I dan II untuk tindakan lanjut.

Katanya, menerusi maklumat itu, masalah yang timbul dari penduduk generasi kedua itu akan dibawa untuk perhatian kerajaan negeri untuk pertimbangan bantuan.

''Kita mengambil serius masalah penduduk itu dan berusaha untuk menyelesaikan maslaah mereka," tegasnya.

--Utusan

N29 Batang Ai: Program ‘Anak Angkat’ strategi Pakatan Rakyat untuk sampai ke akar umbi

LUBOK ANTU, 30 Mac (SK) : Timbalan Pengarah Pilihanraya KeADILan Foziah Salleh telah melantik 150 wakil Orang Iban dalam program ‘Anak angkat’ yang menghuni dalam 128 buah Rumah Panjang di sekitar N29 Batang Ai untuk mereka mendekati kesemua pengundi untuk memahami menifsto Pakatan Rakyat.

“Dalam program ini, mereka dilatih bagaimana menangani masalah penipuan Barisan Nasional dalam rampasan hak tanah adat, menjaga hak mereka dari pencerobohan meruntuhkan rumah panjang serta memberi penerangan bagi memahami menifesto Pakatan Rakyat, kata Foziah kepada Suara Keadilan.

“Logistik adalah masalah paling utama untuk mereka bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, maka program ‘Anak Angkat’ ini amat berkesan dimana penerangan yang tepat dan cepat untuk sampai kepada kaum keluarga mereka yang tinggal di kesemua 128 buah rumah panjang akan menjadi mudah dan berkesan,” jelas Foziah.

Foziah juga berkerja sama dengan NGO tempatan seperti pertubuhan Dayak-Iban bersma -sama Angkatan Muda KeADILan (AMK) untuk menangani proses mengira undi semasa piliharaya kecil ini berjalanpada 7 April nanti.

“Persiapan seperti memeriksa kesahihan pengundi dan lain-lain masalah alamat akan di beri penekanan bagi memastikan keadilan dan ketelusan dapat berjalan lancar semasa pembuangan undi kelak,” Foziah berkata.

Sementara itu, Ketua AMK Sarawak Rahmat Aidil Latif, Setiausaha AMK Pusat Zulfikar Ali Ariffin serta wakil-wakil AMK negeri Kedah dan Sabah akan bersama-sama membantu merayu undi dan memberi latihan dalam kerja-kerja mengira undi bagi memastikan tidak ada sebarang penipuan atau pengundi hantu seperti yang sering terjadi di setiap pilihanraya.

“Setakat ini semua persiapan berjalan lancar walaupun agen-agen BN serta polis juga kelihatan disana-sini memerhati pergerakan kami,”kata Rahmat.

“Walau bagaimanapun keadaan tenang dan tidak ada kekecohan yang timbul setakat ini,” tambah beliau.

--Suara Keadilan

Minta tanah bercucuk tanam | Pilihanraya Kecil Batang Ai


SIMON Anggit mengalami kesukaran menjemur padinya akibat kekurangan tanah dan tempat bercucuk tanam di Lubok Antu, Sarawak, baru-baru ini. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN

LUBOK ANTU 29 Mac - Empangan hidro elektrik Batang Air yang berkeluasan 8,498 hektar merupakan kawasan empangan yang terbesar di Sarawak setakat ini yang terletak di Daerah Lubok Antu dalam bahagian Sri Aman.

Empangan ini bukan sekadar berfungsi membekalkan tenaga elektrik kepada penduduk di Sarawak tetapi juga memainkan peranan sebagai pusat pelancongan dan sumber bekalan air kepada penduduk khasnya di Daerah Lubok Antu.

Malah dengan kewujudan empangan itu, risiko kejadian banjir yang sering berlaku di Daerah Lubok Antu khasnya di daerah Kecil Engkilili dapat dikurangkan malah dapat diatasi.

Pembinaan dimulakan pada 1982 apabila kerja alih sungai dimulakan dan disiapkan pada tahun 1985 apabila turbin terakhir siap dipasang dan operasi dimulakan pada tahun tahun yang sama.

Penduduk tempatan khasnya yang tinggal di daerah Lubok Antu dan yang terlibat dalam program penempatan semula penduduk turut menerima manfaat dari terbinanya empangan ini.

Ini kerana di kawasan penempatan semula penduduk, pelbagai kemudahan asas telah disediakan oleh pihak kerajaan seperti bekalan elektrik dan air, talian telefon, tempat kediaman, sekolah dan klinik.

Di samping itu pihak kerajaan juga telah membayar pampasan bagi tanah-tanah milik keluarga yang terlibat dalam pembinaan empangan ini.

Namun, di sebalik kemajuan itu, masih terdengar rintihan penduduk kampung yang tinggal di kawasan Fasa II Skim Penempatan Semula yang mahu masalah mereka diberi perhatian oleh pihak yang bertanggungjawab.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan itu mendapati, penduduk di situ mempunyai masalah untuk bercucuk tanam di kampung mereka berikutan faktor keluasan tanah yang terhad.

Dakwa penduduk kampung, mereka hanya diberikan tanah seluas 0.4 hektar untuk menanam padi.

Menurut mereka, kawasan seluas itu tidak memadai bagi mereka untuk memperoleh hasil tuaian yang mencukupi bagi menyara keluarga yang ramai.

Bagi Caroline Bayoh, 37, dari Rumah Sempang, dia berharap kerajaan terutamanya bakal wakil rakyat yang akan mewakili mereka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air akan dapat mengambil berat masalah mereka.

Kata ibu kepada tiga orang anak itu, setelah lebih 20 tahun tinggal di situ, mereka tidak mampu mendapat hasil tuaian yang lumayan berikutan faktor tanah yang diberikan kerajaan sebagai ganti kepada pemindahan mereka dari kampung asal yang terlibat dengan projek Empangan Batang Air.

Katanya, dia hanya memperoleh lima guni beras setiap kali menuai padi dalam tempoh setahun.

''Saya sebagai penduduk kampung di sini amat berharap wakil rakyat yang akan mewakili kami nanti akan dapat menyelesaikan masalah kami selama ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Pilihan Raya Kecil DUN Batang Air diadakan pada 7 April ini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dublin Ingkot Februari lalu.

Kawasan Penempatan Semula Fasa II Batang Air mempunyai sebanyak 12 rumah panjang yang majoritinya merupakan masyarakat Iban.

Bagi bekas pesara tentera, Nyela Chelum, 63, bagi mengatasi masalah berkenaan, penduduk kampung terpaksa menyewa tanah dari orang lain untuk bercucuk tanam.

Katanya, hanya cara menyewa tanah itu penduduk kampung mampu menyelesaikan masalah kekurangan tanah yang dihadapi mereka di situ.

''Saya amat berharap kerajaan dapat membantu kami meningkatkan pendapatan kami," katanya.

Sementara itu, bagi Lena Rumpang, 50, dia mengalami kesusahan untuk bercucuk tanam dengan masalah kekurangan tanah itu.

Menurutnya, malah hasil tuaian itu tidak mencukupi baginya untuk menyara keluarganya yang ramai.

''Saya amat berharap penduduk di sini dapat diberikan sedikit tanah tambahan bagi kami meningkatkan pendapatan," katanya.

--Utusan

Pembangkang Kekeringan Isu Di Batang Ai, Kata Mauh | Pilihanraya Kecil Batang Ai

LUBOK ANTU, 30 Mac (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) jelas tidak mempunyai sebarang isu yang boleh dibangkitkan di kawasan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai di sini untuk menarik perhatian pengundi, kata Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak Joseph Mauh Ikeh.


Beliau berkata untuk menarik sokongan rakyat, mereka akan membangitkan apa sahaja isu remeh termasuk isu kononnya kerajaan merampas tanah hak rakyat.

"Setiap membangunan tanah yang dilaksanakan kerajaan, hasilnya akan diberi kepada rakyat dan kerajaan tidak pernah mengambil tanah rakyat kerana selama ini rakyat turut menerima pampasan daripada tanah yang dibangunkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan satu program khas anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini hari ini.

Katanya Barisan Nasional (BN) sudah membuktikan kepada rakyat di Malaysia dan Sarawak bahawa mereka merupakan kerajaan yang kukuh dan mampu memberikan khidmat kepada rakyat.

Mauh yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Tamin itu sedang berkempen bagi membantu Barisan Nasional dalam menghadapi pilihan raya kecil DUN Batang Ai pada 7 April ini, yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Malcom Mussem Lamoh dan calon PKR Jawah Gerang.

-- BERNAMA

Mafrel Ucap Tahniah Kepada SPR Dan Polis | Pilihanraya Kecil Batang Ai

LUBOK ANTU, 30 Mac (Bernama) -- Badan bukan kerajaan, Malaysians For Free and Fair Elections (Mafrel) berpuas hati dengan proses penamaan calon pilihan raya kecil Batang Ai di Kompleks Dewan Sukan Lubok Antu di sini semalam.


Ketua Kordinasinya Peter John anak Jaban berkata setakat ini Mafrel berpuas hati dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak polis yang berjaya mengawal keadaan ketika proses penamaan calon secara profesional.

"Tahniah kepada SPR, polis dan juga tak lupa kepada pihak media yang berjaya memastikan kelancaran proses penamaan calon di Batang Ai semalam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat media di sini hari ini.

Peter John berkata pihak Mafrel kini sedang melakukan semakan dengan lebih teliti berhubung 26 nama pemilih yang menurut pihak SPR masih "aktif" walaupun berusia lebih 100 tahun di kawasan pilihan raya Batang Ai.

Menurut beliau, anggotanya telahpun membuat rujukan di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan setakat ini belum dapat disahkan sama ada mereka telah mati kerana tidak ada laporan yang sah diterima setakat ini daripada keluarga pemilih berkenaan.

"Salah seorang yang kita masih cari ialah Dayang Untat Abang Kamaruden yang masih lagi dalam senarai nama pemilih aktif SPR terkini pada Mac 2009," katanya.

Sementara itu, katanya, Mafrel yang mempunyai 33 anggota sukarela akan terus melakukan pemantauan sepanjang tempoh kempen pilihan raya kecil Batang Ai di sini.

Pilihan raya kecil Batang Ai menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Malcolm Mussem Lamoh dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jawah Gerang.

Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai mempunyai 8,006 pengundi berdaftar dan proses pengundi akan diadakan serentak dengan dua lagi pilihan raya kecil di Bukit Selambau dan Bukit Gantang pada 7 April ini.

Pilihan raya kecil terpaksa diadakan di Batang Ai berikutan kematian penyandang kerusi tersebut menteri Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Februari lalu.

-- BERNAMA

Sunday, March 29, 2009

Angka 9 Amat Bermakna Bagi Mussem | Pilihanraya Kecil N29 Batang Ai

LUBOK ANTU, 29 Mac (Bernama) -- Bagi calon Barisan Nasional(BN) pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Batang Ai, Malcolm Mussem Lamoh, angka 9 mempunyi pelbagai erti dan amat serasi dengan dirinya.


"Saya berusia 49 tahun, lahir pada 1959, meletak jawatan daripada perkhidmatan kerajaan pada 19 haribulan (Mac). Tarikh penamaan calon hari ini ialah 29 Mac, manakala nombor bagi kawasan pilihan raya negeri Batang Ai ialah 29," katanya kepada pemberita selepas disahkan sebagai calon BN bagi menghadapi pilihan raya kecil pada 7 April.

Kebetulan pula, 9 merupakan angka yang amat bermakna bagi masyarakat Cina kerana ia membawa maksud "kekal".

Berbekalkan petanda awal yang amat disenanginya ini, Mussem yakin akan mencapai keputusan yang memihak kepadanya dalam pertandingan menentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jawah Gerang pada pilihan raya berkenaan.

"Kami perlu bekerja keras. Saya sendiri sanggup bertungkus lumus bagi meneruskan usaha-usaha pembangunan di Batang Ai. Oleh itu, penduduk Batang Ai patut beri peluang kepada saya," katanya.

Mengenai persiapan bagi menghadapi pilihan raya itu, Mussem berkata beliau telah melawat sebahagian besar kawasan berkenaan yang mempunyai 22,270 penduduk, kebanyakannya anggota masyarakat Iban, dengan 8,006 daripada mereka adalah pemilih berdaftar.

Berbanding lawannya, bekas jurutera Jabatan Pertanian Sarawak ini mempunyai kelebihan kerana beliau sudah biasa dengan kebanyakan tempat di daerah terpencil berkenaan, yang dikuasai selama tiga penggal oleh BN melalui Datuk Dublin Unting Ingkot, sehinggalah beliau meninggal dunia pada 24 Feb lepas setelah uzur sejak sekian lama.

"Saya yakin saya lebih rapat dengan peringkat akar umbi,daripada kalangan kakitangan awam, hinggalah kepada penduduk rumah panjang di kawasan berkenaan, berbanding calon yang bertanding dengan saya.

"Saya boleh berhubung secara terus dengan mereka. Saya percaya saya mampu berdikari dengan personaliti saya dan kempen yang diadakan nanti sudah tentu memberi lebih banyak kelebihan kepada saya," katanya.

"Saya tidak gentar berdepan dengan Jawah, yang pernah menjadi Anggota Parlimen BN selama lima penggal bagi kawasan Lubok Antu dan walaupun kami bersahabat, tapi kami mempunyai ideologi berbeza," kata Mussem.

Mengenai masalah yang dihadapi penduduk di kawasan pilihan raya itu, calon BN ini berkata walaupun masalah akan terus wujud, tetapi beliau yakin akan dapat menyelesaikannya.

-- BERNAMA