*******

Wednesday, April 1, 2009

PKR Diramal Tempuh Laluan Sukar Di Batang Ai

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Mampukah Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencatat kemenangan di Batang Ai, sebuah kawasan luar bandar, dan sekali gus mencipta satu lagi kejutan dalam pilihan raya kecil seperti yang dilakukannya bagi kerusi bandar di kawasan Padungan pada pilihan raya kecil negeri Sarawak 2006?

Kebanyakan pemerhati politik berpendapat PKR menghadapi laluan sukar di Batang Ai dalam usahanya untuk memenangi kerusi itu.

Batang Ai, yang dianggap tempat asal usul masyarakat Iban, mempunyai 8,006 pemilih berdaftar, dengan 95 peratus daripada mereka terdiri daripada kaum Iban.

Kali terakhir pembangkang mengalahkan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu ialah pada 1991, semasa Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), yang kini hanya tinggal namanya sahaja, merupakan sebuah parti pembangkang di Sarawak, tetapi menjadi parti komponen BN di peringkat persekutuan.

Pada pilihan raya berkenaan, PBDS meletakkan mendiang Dublin Unting Ingkot sebagai calonnya dan mengalahkan calon BN Mikai Mandau dengan majoriti tipis 86 undi, dalam suasana memuncaknya "Agenda Kaum Dayak" ketika itu.

Pilihan raya kecil Batang Ai, yang dianggap sebagai pertarungan antara dua "rentap", pasti menarik minat banyak pihak. Ramai yang ingin melihat sama ada PKR mampu mengulangi kejayaan yang dicatat oleh pembangkang pada 1991.

BN memilih jurutera Malcolm Mussen Lamoh, manakala PKR menurunkan bekas Anggota Parlimen Lubuk Antu selama lima penggal Jawah Gerang, bagi merampas kerusi itu.

Para pemerhati berkata PKR mengalami kekurangan yang amat ketara daripada segi sumber bagi menghadapi pilihan raya kecil itu kerana perlu menghadapi tiga pilihan raya kecil serentak, termasuk di Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau, Kedah.

Ketua Pembangkang, yang juga Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengaku pihaknya menghadapi kesukaran apabila bertanding dalam tiga pilihan raya kecil secara serentak.

Walaupun PKR hanya meletakkan calonnya di Bukit Selambau dan Batang Ai, namun ia perlu menggerakkan juga jentera pilihan rayanya di Bukit Gantang kerana komited dengan pakatan PKR-DAP-PAS.

PKR berpendapat ia berpeluang untuk menang di Batang Ai dan sekali gus membuktikan bahawa kehadirannya diterima di Sarawak, terutama dalam membina kekuatan bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

Bagaimanapun, hakikat yang tidak boleh disembunyikan ialah parti itu tidak memiliki jentera pilihan raya yang ampuh di Sarawak dan oleh itu terpaksa bergantung pada para pemimpin kebangsaannya untuk berkempen.

Berbanding PKR, BN tidak menghadapi masalah daripada segi logistik, kata penulis blog kelahiran Sarawak Tedewin Ngumbang.

"Apabila sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, mereka (pemimpin PKR) perlu menggunakan kenderaan darat untuk ke Lubok Antu sebelum menuju ke merata kawasan rumah panjang di Batang Ai dan untuk ke Delok serta Engkari atau Lamanak (sungai) di bahagian timur kawsan luar bandar ini, mereka perlu menyeberang empangan Batai Ai yang luas umpama laut," kata penulis itu dalam blognya borneo-warrior.blogspot.com.

Tedewin, yang lebih dikenali melalui nama penanya "Borneo Warrior", berkata kemudahan penginapan dan makan-minum di Batang Ai juga amat terhad, kecuali petugas kempen yang mampu tinggal di Hotel Hilton Batang Ai, yang mahal serbi-serbinya dan terletak diseberang tasik gergasi itu.

"Makanan Halal? Hampir tiada langsung di Lubok Antu!" katanya.

Tetapi, bagi BN, perkara itu tidak menjadi masalah kerana anggotanya boleh tinggal di pelbagai tempat seperti banglo Bandar SESCO, kuarters kerajaan dan Klingkang Inn di Lubok Antu.

Daripada segi kemudahan untuk bergerak, parti gabungan itu mempunyai helikopter untuk mengangkut petugasnya ke kawasan pedalaman.

"PKR kekurangan serba-serbi. Kemudahan logistik, operasi dan penyelarsan kempen, boleh dikatakan hampir tiada langsung bagi mereka. PKR tidak mampu menandingi BN Sarawak dalam hal ini," kata Tedewin.

Tedewin, yang pernah berkhidmat sebagai pegawai polis, berkata memang sukar untuk merampas kerusi yang disandang oleh seseorang wakil rakyat BN selama beberapa penggal, lebih-lebih lagi melalui pilihan raya kecil.

Rakan gandingan PKR sendiri, DAP, nampaknya bersetuju bahawa PKR menghadapi laluan yang amat sukar di kawasan luar bandar Sarawak.

"Saya tidak fikir apa jua propaganda Pakatan, seperti keadilan, kesaksamaan dan demokrasi, akan memberi kesan. Logistik memang menjadi masalah. Dalam pilihan raya negeri, fokusnya tidak sehebat pilihan raya kecil ini apabila semua jentera (pilihan raya) akan bertumpu pada suatu kerusi tertentu. Pilihan raya kecil ini berbeza sepenuhnya," kata setiausaha DAP Sarawak Chong Chien Jen.

Bagaimanapun, biar sesukar mana sekali pun, mereka yang terlibat dengan politik sedar bahawa Batang Ai tidak boleh dipandang ringan kerana ia merupakan kayu ukur politik yang amat penting di Sarawak.

"Jika PKR menang dengan majoriti besar, maka 16 Sept (tarikh pengambil alihan) akan hadir setahun kemudian. Bagaimanapun, ia tetap sukar bagi PKR," kata pakar strategi DAP, yang juga Anggota Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong.

Rakan sejawatan Liew dalam DAP Sarawak Voon Lee Shan, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Lintang, pula berkata Batang Ai akan menjadi medan ujian bagi apa yang beliau sifatkan sebagai kelahiran semangat "Iban Baru".

Bagi para pemimpin tertinggi PKR, mereka berpendapat, sekurang-kurangnya di atas kertas, parti itu mempunyai peluang yang sama dengan pesaingnya untuk menang.

Ketua Penerangan PKR Tian Chua berkata berdasarkan keputusan dua pilihan raya lepas di Batang Ai -- pilihan raya negeri Sarawak sebelum ini dan pilihan raya umum tahun lepas -- pola pengundian menunjukkan bahawa PKR mampu memberi tentangan, walaupun menghadapi masalah daripada segi logistik dan kewangan.

BN mempunyai kekuatan di daerah Sbangki (rumah panjang Dublin), pekan Lubok Antu, Skarok, Kaong, Melaban, Kumpang, Nenyang, Ensawang, Kutai, Mepi dan Ng Patoh.

Parti gabungan itu mampu mencapai kemenangan kerana memiliki banyak kelebihan, termasuk calon yang baik iaitu Malcolm Mussen, seorang yang disukai ramai serta memiliki ciri-ciri positif lain, kata Anggota Parlimen BN Kapit Alexander Nanta Linggi.

"Kami harap dapat meyakinkan rakyat, tapi BN sendiri, perlulah melakukan lebih banyak lagi, seperti sedia mendengar sungutan rakyat. Masanya sudah tiba bagi BN untuk mengambil kesempatan sepenuhnya bagi menambah baik keadaan dan menangani masalah rakyat," katanya.

Bagaimanapun, ada beberapa perkara menarik yang perlu diberi pertimbangan iaitu: adakah semua pemilih di Engkari akan memberi undi mereka kepada Jawah apabila saudara pilihan mereka, Nicholas Bawin, tidak dipilih sebagai calon PKR? (Engkari adalah kubu kuat Bawin dan di sanalah beliau mendapat paling banyak undi pada pilihan raya negeri lepas).

Siapakah yang menjadi pilihan sanak saudara dan penyokong mendiang Unting, wakil rakyat mereka selama empat penggal dan seorang menteri muda? Adakah penyokong Naga Alam (setiausaha peribadi Unting, yang dikatakan berhasrat menjadi calon PRS/BN) akan menyokong Mussen, setelah beliau diketepikan? Perkara yang penuh dengan tanda tanya ini pasti akan terjawab melalui peti undi pada 7 April nanti.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment