*******

Wednesday, April 1, 2009

Pelancongan Ekologi, Perkataan Popular Di Batang Ai

LUBOK ANTU, 1 April (Bernama) -- Malahan sebelum pelancongan berasaskan ekologi atau eko-pelancongan menjadi perkataan popular, penduduk di Batang Ai sudahpun terdedah kepada dunia luar hasil daripada tradisi Iban 'bejalai' atau pergi mengembara.

Berikutan pembinaan empangan hidro elektrik pertama di Sarawak iaitu di Batang Ai, yang siap pada 1985, kawasan itu yang sebelumnya terpencil kini sudah dihubungkan dengan jalan raya dari jetinya, hingga ke persimpangan lebuh raya Pan Borneo dan seluruh negeri ini.

Tasik buatan manusia yang sungguh mengagumkan itu, merentasi lembah antara Engkari dan Ai, dan Taman Negara Batang Ai, yang menjadi tempat tinggal Orang Utan dan kira-kira dua jam perjalanan dengan bot, adalah sebahagian daripada kompleks empangan hidro elektrik itu.

Dengan pusat peranginan Hilton Batang Ai Longhouse Resort di pantainya, penduduk di kawasan sekelilingnya turut mendapat manfaat daripada pembangunan ekonomi yang dibawa oleh industri hospitaliti, serta promosi produk pelancongan berasaskan kebudayaan, pengembaraan dan alam semulajadi (CAN).

Pengurus Pelanggan/Aktiviti Hilton Batang Ai Longhouse Resort Christopher Kiding berkata penduduk setempat dibabitkan dalam usahasama berdasarkan perkongsian keuntungan dalam membawa pelanggan hotel ke rumah panjang Iban di kawasan itu, selain diambil bekerja sebagai kakitangan hotel.

"Lawatan ke rumah panjang adalah paling popular di kalangan pelancong Eropah yang gemarkan alam semulajadi, yang biasanya akan melawat rumah panjang Mengkak, kira-kira 45 minit perjalanan dengan bot, dan kemudiannya pergi ke hulu sungai untuk melawat rumah panjang Nanga Sumpa yang terletak di hujung taman negara," katanya kepada Bernama semasa lawatan ke pusat peranginan itu.

Baru-baru ini, pusat peranginan itu menerima anugerah 'Sarawak Hornbill Tourism Appreciation Awards 2008' bagi sumbangan cemerlang terhadap pelancongan bagi kategori hotel harga pertengahan terbaik.

Untuk ke pusat perangingan itu, pelawat boleh menggunakan bot yang memakan masa 20 minit perjalanan dari jeti empangan itu atau kira-kira empat jam perjalanan mengikut jalan darat atau 275km dari ibu negeri, Kuching.

Terletak di kawasan seluas 70 hektar, Kiding berkata lawatan termasuk 45 minit menyusuri Nature Trail atau lima jam bagi Smugglers' Trail, diberi nama sempena urus niaga sistem tukaran barang di sepanjang Sarawak-Kalimantan, Indonesia, untuk meninjau hidupan liar seperti burung kenyalang, babi hutan, tenggilin atau malahan Orang Utan.

Beliau berkata sejak beberapa tahun lepas, pusat peranginan 98 bilik itu merekodkan purata penginapan 40 peratus, terutamanya pada musim puncak antara Mei dan Oktober, dengan pelanggan, kebanyakannya dari Scandinavia, Amerika Syarikat, Jerman, Singapura dan Malaysia.

Jeti empangan Batang Ai terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari bazar sempadan Lubok Antu, pusat pentadbiran daerah, yang begitu sibuk menjelang pilihan raya kecil kerusi Batang Ai pada Selasa ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment