*******

Wednesday, April 1, 2009

Kertas Undi Pos Batang Ai Mula Diedar Esok - SPR | Pilihanraya Kecil N29 Batang Ai

LUBOK ANTU, 1 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mula mengedarkan kertas undi pos bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai di sini esok.

Pengarah SPR Sarawak Takun Sunggah berkata SPR akan menghantar sampul A dan sampul B yang dimasukkan ke dalam sampul keutamaan SPR kepada 43 pengundi pos yang majoritinya adalah anggota polis selain petugas SPR yang berdaftar sebagai pemilih di Batang Ai.

"Kertas undi pos kita akan mula diedar esok dan terpulang kepada pengundi pos untuk menghantar kertas undi masing-masing sebelum pukul 5 petang pada 7 April ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Takun berkata pihak polis akan menentukan tempat dan tarikh untuk membolehkan anggotanya mengumpul semula semua kertas undi yang telah dihantar SPR.

Katanya sampul A mengandungi kertas undi manakala sampul B untuk maklumat identiti akuan pengundi.

Sementara itu, Takun berkata sebanyak 50 kenderaan darat dan 20 perahu panjang akan digunakan oleh kira-kira 200 petugas SPR membabitkan 26 saluran pengundi untuk pilihan raya kecil DUN Batang Ai kali ini.

Katanya setakat ini SPR berpuas hati dengan parti-parti yang bertanding dan tidak ada sebarang laporan serius yang dilaporkan kepada pihaknya setakat ini.

"Kita mahu menasihati parti yang pertanding agar tidak menyentuh isu yang sensitif ketika berkempan," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Batang Ai 7 April ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu membabitkan calon Barisan Nasional (BN) Malcolm Mussen Lamoh dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jawah Gerang.

Batang Ai mempunyai 8,006 pengundi berdaftar.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dublin Unting Ingkot yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri pada 24 Feb lalu akibat angin ahmar.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment