*******

Sunday, March 29, 2009

Angka 9 Amat Bermakna Bagi Mussem | Pilihanraya Kecil N29 Batang Ai

LUBOK ANTU, 29 Mac (Bernama) -- Bagi calon Barisan Nasional(BN) pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Batang Ai, Malcolm Mussem Lamoh, angka 9 mempunyi pelbagai erti dan amat serasi dengan dirinya.


"Saya berusia 49 tahun, lahir pada 1959, meletak jawatan daripada perkhidmatan kerajaan pada 19 haribulan (Mac). Tarikh penamaan calon hari ini ialah 29 Mac, manakala nombor bagi kawasan pilihan raya negeri Batang Ai ialah 29," katanya kepada pemberita selepas disahkan sebagai calon BN bagi menghadapi pilihan raya kecil pada 7 April.

Kebetulan pula, 9 merupakan angka yang amat bermakna bagi masyarakat Cina kerana ia membawa maksud "kekal".

Berbekalkan petanda awal yang amat disenanginya ini, Mussem yakin akan mencapai keputusan yang memihak kepadanya dalam pertandingan menentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jawah Gerang pada pilihan raya berkenaan.

"Kami perlu bekerja keras. Saya sendiri sanggup bertungkus lumus bagi meneruskan usaha-usaha pembangunan di Batang Ai. Oleh itu, penduduk Batang Ai patut beri peluang kepada saya," katanya.

Mengenai persiapan bagi menghadapi pilihan raya itu, Mussem berkata beliau telah melawat sebahagian besar kawasan berkenaan yang mempunyai 22,270 penduduk, kebanyakannya anggota masyarakat Iban, dengan 8,006 daripada mereka adalah pemilih berdaftar.

Berbanding lawannya, bekas jurutera Jabatan Pertanian Sarawak ini mempunyai kelebihan kerana beliau sudah biasa dengan kebanyakan tempat di daerah terpencil berkenaan, yang dikuasai selama tiga penggal oleh BN melalui Datuk Dublin Unting Ingkot, sehinggalah beliau meninggal dunia pada 24 Feb lepas setelah uzur sejak sekian lama.

"Saya yakin saya lebih rapat dengan peringkat akar umbi,daripada kalangan kakitangan awam, hinggalah kepada penduduk rumah panjang di kawasan berkenaan, berbanding calon yang bertanding dengan saya.

"Saya boleh berhubung secara terus dengan mereka. Saya percaya saya mampu berdikari dengan personaliti saya dan kempen yang diadakan nanti sudah tentu memberi lebih banyak kelebihan kepada saya," katanya.

"Saya tidak gentar berdepan dengan Jawah, yang pernah menjadi Anggota Parlimen BN selama lima penggal bagi kawasan Lubok Antu dan walaupun kami bersahabat, tapi kami mempunyai ideologi berbeza," kata Mussem.

Mengenai masalah yang dihadapi penduduk di kawasan pilihan raya itu, calon BN ini berkata walaupun masalah akan terus wujud, tetapi beliau yakin akan dapat menyelesaikannya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment