*******

Saturday, March 14, 2009

Malcom Mussen Lamoh Calon Bagi Batang Ai?

KUCHING, 14 Mac (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Batang Ai telah dikenal pasti dan akan diumumkan minggu depan, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.


"Kami sebulat suara telah memperakui calon Parti Rakyat Sarawak (PRS) bagi kerusi itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat BN negeri di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu di sini hari ini.

Taib, yang juga pengerusi BN negeri, enggan mendedahkan nama calon itu, menyatakan ia akan diserahkan kepada perdana menteri untuk kelulusan dan dijangka diumumkan pada Isnin.

Sementara itu, Presiden PRS Datuk Seri Dr James Jemut Masing mengesahkan PRS telah mencalonkan Malcom Mussen Lamoh, 49, jurutera di Jabatan Pertanian, sebagai calon BN bagi Batang Ai.

Bapa kepada tiga cahaya mata, Mussen merupakan pemegang Ijazah Sarjana Pembuatan Sistem Kejuruteraan dari Universiti Warwick dan Sarjana Muda Kejuruteraan (Pertanian) dari Univerisiti Putra Malaysia (UPM).

Kerusi Batang Ai kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Feb selepas berada dalam keadaan koma akibat serangan angin ahmar pada Mei tahun lepas.

Dalam pilihan raya negeri pada Mei 2006, Unting menewaskan Nicholas Bawin Anggat dari Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dengan majoriti 806 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Mac sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 7 April.

Pada pilihan raya negeri Sarawak 20 Mei, 2006, BN memenangi 62 daripada 71 kerusi.

DAP menang enam kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dua dan calon Bebas di satu kerusi.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment