*******

Tuesday, March 31, 2009

Kerjasama atasi masalah ekonomi


WILSON Baya Dandot (kanan) memakaikan lencana baru pada Abdul Taib Mahmud (tengah) sempena Program Amanat Perdana di Kuching Sarawak, semalam. Turut hadir Alfred Jabu (kiri) dan George Chan (tiga dari kiri).

KUCHING 30 Mac - Kerjasama antara agensi di bawah kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat membantu Malaysia dalam mengatasi masalah ekonomi yang sedang dihadapi negara ini.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kerjasama itu dapat membantu kelancaran pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri ini menerusi pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan baru-baru ini.

Menurutnya, kerajaan negeri mengamalkan sikap terbuka dan sanggup untuk bekerjasama dengan agensi Kerajaan Pusat dalam memastikan pembangunan negeri ini berterusan.

''Marilah kita bekerjasama dalam memastikan pembangunan di negeri ini berterusan supaya hasilnya dapat dinikmati rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Amanat Perdana bersama Ketua Menteri di Hotel Sheraton di sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Dalam pada itu, Abdul Taib memberitahu, senario kewujudan laman-laman blog yang kerap menghentam kerajaan boleh membahayakan kemajuan negara ini untuk terus berkembang.

Katanya, penulis blog tersebut menulis mengenai sesuatu perkara mengikut sudut yang sempit tanpa memikirkan mengenai faedah yang bakal dimiliki rakyat secara keseluruhan.

''Ia merupakan trend yang tidak sihat kepada rakyat negara ini. Perkara ini amat membahayakan kepada negara yang sedang membangun," tegas beliau.

Sementara itu, Abdul Taib mengingatkan setiap agensi swasta di negeri ini supaya mengambil kesempatan dari krisis ekonomi yang berlaku ketika ini untuk memperbaiki mutu perkhidmatan masing-masing.

Katanya menambah, mutu perkhidmatan itu boleh diperbaiki dengan memberikan skil baru kepada pekerja mereka supaya menjadi lebih mahir.

--Utusan

No comments:

Post a Comment