*******

Friday, March 27, 2009

Polis Tubuh Pangkalan Taktikal Di Batang Ai

LUBOK ANTU, 27 Mac (Bernama) -- Polis menubuhkan pangkalan taktikal di lokasi strategik di kawasan Dewan Undangan Negeri Batang Ai, termasuk di kawasan rumah panjang dan di bahu jalan sebagai sebahagian daripada langkah kawalan keselamatan sempena pilihan raya kecil 7 April ini.


Ketua Polis Daerah DSP George Merejok Jumaat berkata struktur kanvas berwarna putih itu, seperti yang digunakan pada pilihan raya kecil Kuala Trengganu Januari lepas, dikendalikan dengan bantuan anggota tambahan bagi menjaga ketenteraman awam.

"Kami menambah kekuatan pasukan dengan menggunakan khidmat anggota tambahan dari seluruh Sarawak dan Ibu Pejabat Polis Persekutuan Bukit Aman bagi menjamin pilihan raya kecil ini bebas daripada kejadian tidak diingini," katanya kepada Bernama di sini.

Kira-kira 850 anggota polis akan bertugas sepanjang tempoh pilihan raya kecil berkenaan mulai hari penamaan calon Ahad ini dan berikutan kedudukan Batang Ai yang terpencil, polis akan menggunakan 10 bot, tiga helikopter dan dua pesawat ringan bagi memudahkan urusan.

Kira-kira 40 peratus penduduk Batang Ai bergantung pada kenderaan air sebagai kaedah pengangkutan.

Merejok menasihati penduduk tempatan supaya tidak berasa cemas dengan kehadiran polis, terutama pada hari mengundi apabila 24 pusat pengundian akan dibuka di kawasan itu.

Kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Batang Ai kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Feb akibat penyakit angin ahmar.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment