*******

Monday, March 30, 2009

Pembangkang Kekeringan Isu Di Batang Ai, Kata Mauh | Pilihanraya Kecil Batang Ai

LUBOK ANTU, 30 Mac (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) jelas tidak mempunyai sebarang isu yang boleh dibangkitkan di kawasan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai di sini untuk menarik perhatian pengundi, kata Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak Joseph Mauh Ikeh.


Beliau berkata untuk menarik sokongan rakyat, mereka akan membangitkan apa sahaja isu remeh termasuk isu kononnya kerajaan merampas tanah hak rakyat.

"Setiap membangunan tanah yang dilaksanakan kerajaan, hasilnya akan diberi kepada rakyat dan kerajaan tidak pernah mengambil tanah rakyat kerana selama ini rakyat turut menerima pampasan daripada tanah yang dibangunkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan satu program khas anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini hari ini.

Katanya Barisan Nasional (BN) sudah membuktikan kepada rakyat di Malaysia dan Sarawak bahawa mereka merupakan kerajaan yang kukuh dan mampu memberikan khidmat kepada rakyat.

Mauh yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Tamin itu sedang berkempen bagi membantu Barisan Nasional dalam menghadapi pilihan raya kecil DUN Batang Ai pada 7 April ini, yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Malcom Mussem Lamoh dan calon PKR Jawah Gerang.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment