*******

Friday, March 27, 2009

Taib Nafi Rayu Derma Bagi Bantu Calon Bn Di Batang Ai

KUCHING, 27 Mac (Bernama) -- Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah menafikan bahawa beliau atau Barisan Nasional (BN) negeri merayu derma untuk membantu calon BN pada pilihan raya kecil Batang Ai, 7 April ini.


Selepas menerima salinan surat meminta sumbangan itu Jumaat, Taib, yang juga pengerusi BN negeri, berkata surat itu dihantar kepada sebuah syarikat dengan tandatangannya dipalsukan dengan niat menipu orang awam.

Dalam kenyataan di sini, katanya beliau tidak pernah menandatangani surat seperti itu dan sesiapa yang menerimanya harus melaporkan kepada pihak berkuasa kerana BN tidak pernah merayu derma.

"Saya harap ini bukan satu helah daripada orang yang ingin menimbulkan kekacauan pada pilihan raya kecil Batang Ai," katanya.

Surat rayuan empat perenggan itu berbunyi: " Harapan kami dari Barisan Nasional Sarawak memohon tajaan daripada syarikat tuan dalam bentuk kewangan bagi membantu perbelanjaan untuk kempen tersebut."

Sementara itu, presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Seri Dr James Masing memberitahu sidang media di sini bahawa surat tersebut bertarikh 23 Mac itu mempunyai ciri-ciri kepalsuan yang ketara.

Katanya nombor akaun Public Bank yang tercatat dalam surat itu adalah tidak betul dan surat itu dipercayai diedarkan kepada syarikat pembalakan di negeri itu.

Pada pilihan raya kecil itu, calon BN Malcom Mussen Lamoh, 49, seorang jurutera Jabatan Pertanian dari Lubok Antu, akan ditentang oleh bekas Ahli Parlimen Lubok Antu selama lima penggal, Jawah Gerang, 55, yang kini menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment