*******

Monday, March 30, 2009

Hanya penduduk generasi kedua terlibat | Pilihanraya Kecil N29 Batang Ai

LUBOK ANTU 29 Mac - Masalah kekurangan tanah di kawasan Fasa II Skim Penempatan Semula, Batang Air di sini hanya melibatkan generasi kedua penduduk kampung di situ, kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak.

Menurutnya, kerajaan telah memberikan tanah seluas empat hektar kepada setiap keluarga dari generasi pertama penduduk kampung yang tinggal di skim penempatan semula Fasa I dan II sebagai ganti rugi kepada pemindahan mereka ke kawasan penempatan semula itu.

Jelasnya, daripada jumlah itu, 0.8 hektar telah diperuntukkan kerajaan bagi membolehkan penduduk mengusahakan tanaman padi manakala baki tanah itu membolehkan penduduk untuk mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit.

Katanya lagi, oleh kerana kesukaran kerajaan untuk memperoleh tanah bagi penduduk mengusahakan tanaman padi, kerajaan bersetuju untuk membayar sejumlah RM4,000 kepada penduduk sebagai ganti rugi tanah berkenaan.

''Tidak timbul isu keluarga di situ diberikan tanah yang terhad. Masalah itu hanya dihadapi generasi kedua penduduk kampung berkenaan dan isu pemberian tanah itu telah selesai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan penduduk kampung di kawasan Skim Penempatan Kedua yang berhadapan dengan masalah kekurangan tanah untuk bercucuk tanam.

Menurut Nyalau, penduduk kampung dari penempatan semula fasa I dan II Batang Air telah memperoleh hasil dengan mengusahakan tanah mereka dengan kelapa sawit setelah menyertai Lembaga Penyatuan dan Pemuliharaan Tanah Sarawak (SALCRA).

''Pada pemberian dividen SALCRA di situ baru-baru ini, sebuah keluarga berjaya memperoleh dividen sebanyak RM40,000 hasil usaha mereka memajukan tanah dengan Lembaga berkenaan," katanya.

Sementara itu, Nyalau berkata, pihak Jabatan Tanah dan Survei (JTS) sedang mengumpulkan maklumat mengenai generasi kedua penduduk skim penempatan semula fasa I dan II untuk tindakan lanjut.

Katanya, menerusi maklumat itu, masalah yang timbul dari penduduk generasi kedua itu akan dibawa untuk perhatian kerajaan negeri untuk pertimbangan bantuan.

''Kita mengambil serius masalah penduduk itu dan berusaha untuk menyelesaikan maslaah mereka," tegasnya.

--Utusan

No comments:

Post a Comment