*******

Tuesday, March 31, 2009

Pembangkang tak mampu maju kawasan | Pilihanraya Kecil N29 Batang Ai


JOSEPH Mauh Ikeh bersalaman dengan penduduk rumah panjang Tinting Lalang di Lubuk Antu, semalam.

LUBOK ANTU 30 Mac - Pembangkang tidak mempunyai kemampuan untuk memajukan masyarakat kaum Iban mahupun membangunkan kawasan yang mereka wakili.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Joseph Mauh Ikeh berkata, wakil atau calon pembangkang yang menang dalam satu-satu pilihan raya tidak mempunyai sebarang peruntukan untuk membangunkan kawasan mereka.

Menurutnya, calon pembangkang hanya diberi elaun kira-kira RM4,000 sebagai wakil rakyat dan jumlah itu tidak cukup untuk membantu atau membangunkan masyarakat di kawasan yang diwakilinya.

''Pada masa pilihan raya, calon pembangkang akan memberi janji-janji manis tetapi jika sudah menang, bagaimana mereka mahu melaksanakan pembangunan kepada rakyat.

''Ini kerana pembangkang tiada rancangan dan peruntukan yang membolehkan mereka membantu rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Program Berambeh di Rumah Panjang Tinting Lalang anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sarawak di sini hari ini.

Ditanya mengenai calon Parti Keadilan Rakyat, Jawah Gerang, Mauh berkata, beliau yakin pembangkang tidak akan dapat memenangi kerusi Batang Air kerana Barisan Nasional (BN) mempunyai calon yang terbaik iaitu bekas jurutera pertanian di kawasan tersebut, Malcom Mussen Lamoh.

Katanya, Mussen seorang calon yang berpengetahuan serta mempunyai pengalaman bertugas di kawasan Batang Air dan tidak menjadi masalah untuk beliau meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Mengulas mengenai isu tanah, Mauh memberitahu, kerajaan bukan mengambil tanah penduduk kampung secara membuta tuli tetapi ia bertujuan membangunkan rakyat.

''Bagaimana kerajaan mahu melaksanakan pembangunan jika tidak ada tanah untuk membangunkannya kerana pembangunan tidak dapat dibina di ruang udara," ujarnya.

Pada masa yang sama, Mauh mahu masyarakat kaum Iban melahirkan modal insan yang berkualiti dengan memberi pengetahuan serta kemahiran kepada anak-anak.

Menurutnya, hanya dengan ilmu dan kemahiran sesebuah masyarakat itu boleh maju seperti rakyat di Amerika dan Eropah.

Bagaimanapun katanya, ibu bapa perlu memastikan anak-anak tidak terpengaruh dengan budaya barat serta gejala sosial yang sudah pasti akan menjadi barah kepada masyarakat.

''Bak kata pepatah orang Melayu, 'mahu melentur buluh biarlah dari rebungnya' dan anak-anak yang telah berjaya juga perlu perlu disemai dengan sikap bertanggungjawab, moral serta jati diri agar mereka tahu asal usul sendiri," katanya.

--Utusan

No comments:

Post a Comment