*******

Monday, March 30, 2009

Minta tanah bercucuk tanam | Pilihanraya Kecil Batang Ai


SIMON Anggit mengalami kesukaran menjemur padinya akibat kekurangan tanah dan tempat bercucuk tanam di Lubok Antu, Sarawak, baru-baru ini. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN

LUBOK ANTU 29 Mac - Empangan hidro elektrik Batang Air yang berkeluasan 8,498 hektar merupakan kawasan empangan yang terbesar di Sarawak setakat ini yang terletak di Daerah Lubok Antu dalam bahagian Sri Aman.

Empangan ini bukan sekadar berfungsi membekalkan tenaga elektrik kepada penduduk di Sarawak tetapi juga memainkan peranan sebagai pusat pelancongan dan sumber bekalan air kepada penduduk khasnya di Daerah Lubok Antu.

Malah dengan kewujudan empangan itu, risiko kejadian banjir yang sering berlaku di Daerah Lubok Antu khasnya di daerah Kecil Engkilili dapat dikurangkan malah dapat diatasi.

Pembinaan dimulakan pada 1982 apabila kerja alih sungai dimulakan dan disiapkan pada tahun 1985 apabila turbin terakhir siap dipasang dan operasi dimulakan pada tahun tahun yang sama.

Penduduk tempatan khasnya yang tinggal di daerah Lubok Antu dan yang terlibat dalam program penempatan semula penduduk turut menerima manfaat dari terbinanya empangan ini.

Ini kerana di kawasan penempatan semula penduduk, pelbagai kemudahan asas telah disediakan oleh pihak kerajaan seperti bekalan elektrik dan air, talian telefon, tempat kediaman, sekolah dan klinik.

Di samping itu pihak kerajaan juga telah membayar pampasan bagi tanah-tanah milik keluarga yang terlibat dalam pembinaan empangan ini.

Namun, di sebalik kemajuan itu, masih terdengar rintihan penduduk kampung yang tinggal di kawasan Fasa II Skim Penempatan Semula yang mahu masalah mereka diberi perhatian oleh pihak yang bertanggungjawab.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan itu mendapati, penduduk di situ mempunyai masalah untuk bercucuk tanam di kampung mereka berikutan faktor keluasan tanah yang terhad.

Dakwa penduduk kampung, mereka hanya diberikan tanah seluas 0.4 hektar untuk menanam padi.

Menurut mereka, kawasan seluas itu tidak memadai bagi mereka untuk memperoleh hasil tuaian yang mencukupi bagi menyara keluarga yang ramai.

Bagi Caroline Bayoh, 37, dari Rumah Sempang, dia berharap kerajaan terutamanya bakal wakil rakyat yang akan mewakili mereka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air akan dapat mengambil berat masalah mereka.

Kata ibu kepada tiga orang anak itu, setelah lebih 20 tahun tinggal di situ, mereka tidak mampu mendapat hasil tuaian yang lumayan berikutan faktor tanah yang diberikan kerajaan sebagai ganti kepada pemindahan mereka dari kampung asal yang terlibat dengan projek Empangan Batang Air.

Katanya, dia hanya memperoleh lima guni beras setiap kali menuai padi dalam tempoh setahun.

''Saya sebagai penduduk kampung di sini amat berharap wakil rakyat yang akan mewakili kami nanti akan dapat menyelesaikan masalah kami selama ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Pilihan Raya Kecil DUN Batang Air diadakan pada 7 April ini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dublin Ingkot Februari lalu.

Kawasan Penempatan Semula Fasa II Batang Air mempunyai sebanyak 12 rumah panjang yang majoritinya merupakan masyarakat Iban.

Bagi bekas pesara tentera, Nyela Chelum, 63, bagi mengatasi masalah berkenaan, penduduk kampung terpaksa menyewa tanah dari orang lain untuk bercucuk tanam.

Katanya, hanya cara menyewa tanah itu penduduk kampung mampu menyelesaikan masalah kekurangan tanah yang dihadapi mereka di situ.

''Saya amat berharap kerajaan dapat membantu kami meningkatkan pendapatan kami," katanya.

Sementara itu, bagi Lena Rumpang, 50, dia mengalami kesusahan untuk bercucuk tanam dengan masalah kekurangan tanah itu.

Menurutnya, malah hasil tuaian itu tidak mencukupi baginya untuk menyara keluarganya yang ramai.

''Saya amat berharap penduduk di sini dapat diberikan sedikit tanah tambahan bagi kami meningkatkan pendapatan," katanya.

--Utusan

No comments:

Post a Comment