*******

Monday, March 30, 2009

Mafrel Ucap Tahniah Kepada SPR Dan Polis | Pilihanraya Kecil Batang Ai

LUBOK ANTU, 30 Mac (Bernama) -- Badan bukan kerajaan, Malaysians For Free and Fair Elections (Mafrel) berpuas hati dengan proses penamaan calon pilihan raya kecil Batang Ai di Kompleks Dewan Sukan Lubok Antu di sini semalam.


Ketua Kordinasinya Peter John anak Jaban berkata setakat ini Mafrel berpuas hati dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak polis yang berjaya mengawal keadaan ketika proses penamaan calon secara profesional.

"Tahniah kepada SPR, polis dan juga tak lupa kepada pihak media yang berjaya memastikan kelancaran proses penamaan calon di Batang Ai semalam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat media di sini hari ini.

Peter John berkata pihak Mafrel kini sedang melakukan semakan dengan lebih teliti berhubung 26 nama pemilih yang menurut pihak SPR masih "aktif" walaupun berusia lebih 100 tahun di kawasan pilihan raya Batang Ai.

Menurut beliau, anggotanya telahpun membuat rujukan di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan setakat ini belum dapat disahkan sama ada mereka telah mati kerana tidak ada laporan yang sah diterima setakat ini daripada keluarga pemilih berkenaan.

"Salah seorang yang kita masih cari ialah Dayang Untat Abang Kamaruden yang masih lagi dalam senarai nama pemilih aktif SPR terkini pada Mac 2009," katanya.

Sementara itu, katanya, Mafrel yang mempunyai 33 anggota sukarela akan terus melakukan pemantauan sepanjang tempoh kempen pilihan raya kecil Batang Ai di sini.

Pilihan raya kecil Batang Ai menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Malcolm Mussem Lamoh dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jawah Gerang.

Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai mempunyai 8,006 pengundi berdaftar dan proses pengundi akan diadakan serentak dengan dua lagi pilihan raya kecil di Bukit Selambau dan Bukit Gantang pada 7 April ini.

Pilihan raya kecil terpaksa diadakan di Batang Ai berikutan kematian penyandang kerusi tersebut menteri Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Februari lalu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment