*******

Friday, March 27, 2009

SPR Sangkal Laporan Mafrel Wujud pengundi Hantu

LUBOK ANTU, 26 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan laporan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bebas Malaysian For Free and Fair Election (Mafrel) akan kewujudan "pengundi hantu" di kawasan pilihan raya kecil Batang Ai di sini.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata sebagai sebuah badan yang diiktiraf oleh SPR untuk memantau pilihan raya Mafrel seharusnya lebih bertanggungjawab membuat kenyataan agar tidak mengelirukan rakyat.

"SPR tidak berhak untuk memindah alamat daftar pemilih di sesuatu kawasan selain tidak berhak untuk menghapuskan nama pemilih yang telahpun meninggal dunia selagi tidak menerima surat kematian yang sah daripada pihak Jabatan Pendaftaran," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat sempena persiapan pilihan raya Batang Ai di sini hari ini.

Baru-baru ini Mafrel melaporkan terdapat 7,117 ataupun 96 peratus daripada 8,006 pengundi di kawasan Batang Ai tidak mempunyai alamat tetap dan tidak dapat dikesan.

Beliau berkata Mafrel seharusnya faham keadaan di kawasan Batang Ai kerana kebanyakan pemilih yang berdaftar tidak tinggal tetap di sesuatu tempat selain telah berpindah dan bekerja di luar kawasan mengundi.

Wan Ahmad berkata hanya pemilih ataupun keluarga pemilih (jika pemilih sudah meninggal dunia) yang berhak untuk membuat sebarang perubahan kepada senarai daftar pemilih yang dipegang oleh SPR selepas mendapat dokumen pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara ataupun polis.

"Tidak semudah yang disangka untuk menggunakan nama pengundi yang telah meninggal dunia, kerana kita harus memeriksa kad pengenalan selain dokumen rasmi yang lain sebelum membenarkan mereka yang terbabit untuk mengundi," katanya.

Katanya SPR berhak untuk menolak nama seorang pemilih sekiranya wujud kesangsingan dengan status pemilih yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri selain kad pengenalan seperti lesen memandu.

Beliau berkata kawasan Dewan Undangan Negeri mempunyai pemilih berusia 111 tahun dan 109 tahun masing-masing seorang, dua orang (95 tahun), 14 orang (81 hingga 90 tahun) dan selebihnya 79 tahun ke bawah hingga 21 tahun.

Mengenai persiapan pilihan raya kecil Batang Ai, beliau berkata 26 saluran pengundi akan dibuka pada hari mengundi 7 April depan termasuk satu saluran untuk undi pos dan keputusan dijangka diumumkan kira-kira 9 malam.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini diadakan Ahad ini. Kerusi Dewan Undangan Negeri ini kosong berikutan kematian penyandangnya Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Dublin Unting Ingkot, 55 pada 24 Feb lepas akibat koma sejak Mei lepas.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment