*******

Wednesday, February 18, 2009

Sarawak Rangka Strategi Baru Pikat Pelancong Asean

KUCHING, 17 Feb (Bernama) -- Sarawak akan memperkenalkan strategi baru bagi mengimbangi krisis kewangan global dalam usaha meningkatkan bilangan kedatangan pelancong dari rantau Asean, kata Menteri Pembangunan Bandar dan Pelancongan Negeri Datuk Michael Manyin hari ini.

Katanya dengan kemelesatan ekonomi dunia, pelancong yang sebelum ini melakukan perjalanan jarak jauh ke benua Amerika dan Eropah kini memilih destinasi jarak dekat yang lebih mampu di rantau ini.

"Sarawak ingin mengambil kesempatan ke atas pelancong jarak dekat khususnya pelancong Singapura dengan penambahbaikan laluan dengan lebih penerbangan terus diadakan antara Singapura-Kuching sejak November tahun lepas.

"Dengan penerbangan terus Kuching-Jakarta, kita akan memperkenalkan pakej pelancongan baru bagi memikat pelancong Indonesia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tune Hotels.com-Waterfront Kuching di sini hari ini.

Manyin berkata mereka juga akan mengadakan promosi pelancongan ke Filipina, Thailand dan negara-negara Asean yang lain.

Selain itu, Lembaga Pelancongan Saawak akan bekerja rapat dengan pengusaha pelancongan tempatan dan syarikat penerbangan bagi menawarkan pakej penerbangan menarik kepada pelancong dari Singapura.

Katanya empat syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia, SilkAsia dan Tiger Airways menyediakan perkhidmatan penerbangan terus Singapura-Kuching.

Mulai 1 Mac ini, Manyin berkata sebuah lagi syarikat penerbangan tambang murah JetStar Asia, akan memulakan perkhidmatan penerbangan terus Singapura-Kuching dengan kapasiti tempat duduk berjumlah 7,000 setiap minggu.

Dalam perkembangan berkaitan, Manyin berkata sebuah pertandingan ratu cantik antarabangsa akan diadakan di negeri itu tahun ini bagi mempromosikan industri pelancongan Sarawak.

"Ratu cantik dari 60 buah negara dijangka akan menyertai pertandingan peringkat antarabangsa itu," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment