*******

Wednesday, February 18, 2009

Hab Halal Tanjung Manis tarik pelaburan RM9b

TANJUNG MANIS 18 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan Hab Halal Tanjung Manis (HHTM) yang bakal menarik pelaburan bernilai RM9 bilion.

Hab halal yang terletak di dalam kawasan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE) itu merupakan salah satu pengkalan produk halal terbesar di Malaysia untuk meneroka pasaran industri halal dunia.

Pada majlis itu, Abdullah turut menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Penjualan Tanah dan 'Lesen Untuk Menduduki' antara Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka), Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC), Tanjung Manis Food and Industrial Park Sdn. Bhd., dan pelabur HHTM.

Sebanyak 11 syarikat terbabit dalam majlis itu dengan nilai pelaburan sebanyak RM4 bilion.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Sarawak, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan berkata, buat permulaan, projek dengan keluasan 19,000 hektar itu mampu membuka peluang pekerjaan kepada 3,000 penduduk tempatan di sini.

Katanya, syarikat yang terbabit dengan projek di HHTM akan melaksanakan projek berkaitan akuakultur, bioteknologi, penternakan, perladangan, pemprosesan makanan halal serta projek penyelidikan dan pembangunan (R&D).

''Kerajaan negeri amat mengalu-alukan kehadiran pelabur luar seperti Sea Party Group untuk melaksanakan projek akuakultur, penternakan ikan dan udang, penternakan ayam dan rumpai laut secara besar-besaran menggunakan teknologi moden dan mesra alam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada majlis pelancaran HHTM yang disempurnakan Abdullah di sini hari ini.

Awang Tengah berkata, pembangunan infrastruktur di HHTM memerlukan dana kira-kira RM5 bilion bagi membolehkan kemudahan sokongan seperti kemudahan lapangan terbang, rangkaian jalan raya menghubungkan kawasan industri dapat diwujudkan.

Katanya, Pusaka telah mendapat peruntukan sebanyak RM135 juta bagi mengadakan kemudahan infrastruktur dan kemudahan asas untuk projek HHTM.

''Bagaimanapun, keperluan yang mendesak untuk diadakan di HHTM ketika ini ialah mewujudkan kemudahan perbankan selaras dengan pelaksanaan projek tersebut," katanya.

Sementara itu, Awang Tengah berkata, Bandar Baru Tanjung Manis merupakan bandar pelabuhan dan bandar hab halal yang dijangka menarik pelaburan kira-kira RM20 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.

--Utusan

No comments:

Post a Comment