*******

Wednesday, February 18, 2009

Switzerland Mahu Perkukuh Hubungan Dengan Sarawak

KUCHING, 18 Feb (Bernama) -- Switzerland berminat untuk mengukuhkan hubungan dengan Sarawak, negeri yang kaya dengan sumber alam semula jadi terutamanya dalam bidang pemuliharaan alam semula jadi, kata Duta Switzerland ke Malaysia, Dr Urs Stemmler.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat Pusat Hidupan Liar Semenggoh dekat sini, Stemmler berkata satu bidang yang mengkagumkan beliau adalah pengetahuan, motivasi, dedikasi serta profesionalisme Perhutanan Sarawak dalam pemuliharaan orang utan.

"Banyak usaha-usaha positif dilakukan Kerajaan Sarawak bagi memulihara orang utan. Saya amat kagum dengan usaha gigih dan dedikasi Sarawak dalam kerja-kerja pemuliharaan orang utan," katanya.

Stemmler berkata Sarawak telah menyediakan persekitaran yang kondusif bagi melatih dan menyediakan orang utan hidup dalam habitat semula jadi yang seharusnya dicontohi oleh negara-negara lain.

Katanya Sarawak juga mengambil inisiatif lain dengan menguatkuasakan undang-undang yang ketat bagi melindungi kewujudan orang utan di negeri itu daripada pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata pemuliharan alam semula jadi merupakan antara perkara yang dibincangkan semasa pertemuannya dengan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu semalam.

Ia satu perbincangan yang menggalakkan dan ia turut menyentuh kemungkinan untuk memperluaskan inisiatif pemuliharaan bagi kedua-dua pihak, katanya.

Terdahulu, Stemmler yang dalam rangka lawatan ke Sarawak sejak semalam, melawat Pusat Hidupan Liar Semenggoh di Hutan Simpan Asli Semenggoh yang mempunyai keluasan 653 hektar habitat alam semula jadi.

Setakat ini terdapat 25 orang utan hidup di Hutan Simpan Asli Semenggoh, termasuk 14 yang dilahirkan di pusat berkenaan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment